AntarabangsaIsu Semasa

Wilayah Xinjiang Akan Bina “Tembok Besar” Sendiri?

Wilayah berautonomi Xinjiang Uighur akan membina “Tembok Besar” di sepanjang sempadannya yang berkukuran 5,700 kilometer (km) dalam usaha membendung ekstremisme, separatisme dan juga ancaman keganasan dari luar negara.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pengurusan keselamatan sosial tidak mempunyai sebarang kekurangan atau cacat cela serta memastikan kawasan-kawasan penting kekal selamat sepenuhnya,” kata Pengerusi Wilayah itu, Shokrat Zakir baru-baru ini.

Selain daripada membina tembok pertahanan, langkah-langkah keselamatan lain yang akan diambil termasuk menguatkuasakan pengurusan internet di kawasan sempadan bagi menjaga dan mengekalkan kestabilan sosial di Xinjiang, namun Zakir menegaskan bahawa perkara itu amat rumit untuk dilaksanakan.

Memetik laporan Asia News Network, wilayah tersebut juga akan bergantung banyak kepada teknologi untuk menaik taraf infrastruktur-infrastruktur di kawasan-kawasan penting, antaranya adalah memperbaiki keadaan jalan raya.

“Situasi sosial keseluruhan stabil pada tahun 2017, dan ia ternyata membuatkan orang ramai rasa lebih selamat.

“Kami tidak akan membenarkan separatisme untuk berlaku semula dan (pada masa yang sama) akan memastikan puak pelampau agama tidak akan muncul lagi, dan serangan pengganas juga akan gagal,” tegas Zakir.

Tahun lepas, Xinjiang telah memperkenalkan beberapa siri langkah keselamatan baru, dan antaranya adalah menubuhkan rangkaian balai polis di setiap bandar supaya mudah untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang bentuk kecemasan.

Difahamkan, wilayah berkenaan sentiasa menjadi ‘barisan hadapan’ China untuk menentang keganasan.

Kewujudan puak-puak pelampau agama juga telah ‘menyumbang’ kepada beberapa insiden serangan pengganas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kerajaan wilayah ini akan terus mengutamakan usaha mengekalkan kestabilan sosial bagi tempoh lima tahun yang akan datang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, prestasi industri pelancongan sentiasa menjadi ‘pengukur’ kestabilan wilayah tersebut, memandangkan ramai pelancong melawat negara itu kerana keamanan, kepelbagaian, serta pemandangannya yang indah.

Pada tahun 2017, lebih daripada 107 juta pelancong domestik dan asing telah melawat Xinjiang, iaitu peningkatan sebanyak 32.4% berbanding tahun sebelumnya.

Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) wilayah tersebut juga telah meningkat kepada 1.09 trillion yuan (RM 660 bilion) pada 2017 daripada 753 bilion yuan (RM 462 bilion) pada 2012, dengan purata kadar pertumbuhan sebanyak 9%.

Walaupun mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, Zakir menyatakan bahawa pembangunan yang tidak seimbang di antara utara dan selatan Xinjiang masih ketara.

Pada masa kini, terdapat kira-kira 1.63 juta penduduk di selatan Xinjiang yang hidup dalam kemiskinan tegar, dan jumlah itu adalah 86% daripada populasi keseluruhan orang miskin di sana.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker