Bisnes & Ekonomi

Ceramiracle: Kafe Berkonsepkan Kecantikan

Sejak kecil lagi Eugene He telah meluangkan masa ‘bereksperimen’ dengan krim kulit.

Ketika kanak-kanak lelaki lain seusia dengannya sedang bermain dengan permainan, Eugene yang berusia lapan tahun akan berada di ‘makmal’ menjalankan eksperimen pada sesetengah jenis herba atau tumbuhan yang diperoleh dari dapur atau tamannya.

Eugene He

 

PENGASAS JENAMA KOSMETIK CERAMIRACLE

Kini berusia 34 tahun, beliau merupakan pengasas jenama kosmetik yang dikenali sebagai “Ceramiracle.”

Menurut akhbar The Star, Eugene menyatakan bahawa beliau berjaya menemui bahan utama untuk mencegah penuaan pada tahun 2015.

“Saya berada di ‘makmal’ sedang menguji beberapa formulasi topikal apabila tiba-tiba, saya menyedari psoriasis pada jari telunjuk saya, yang saya hidapi sejak kecil telah hilang.

“Ketika itu saya tahu saya telah menemui formula yang betul, jadi saya berikan krim itu kepada kawan-kawan saya untuk mereka cuba.

“Maklum balas positif yang saya terima membuatkan saya ingin menjualnya secara dalam talian,” terangnya.

Antara produk terbarunya adalah Serum First Light dan Reboot Mask.

CAWANGAN PERTAMA CERAMIRACLE DI MALAYSIA DI TAMAN TUN DR ISMAIL

Tahun lepas, beliau bekerjasama dengan beberapa rakan perniagaan dari Singapura dan Malaysia untuk melancarkan cawangan tempatan pertama Ceramiracle di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Difahamkan, lebih RM400,000 dilaburkan dalam pembukaan cawangan ini.

Beliau berharap dapat membuka empat lagi cawangan di lokasi-lokasi lain seperti Pulau Pinang dan Timur Malaysia.

Dalam pada itu, Ceramiracle juga beroperasi di Singapura dan Los Angeles.

 

KAFE UNTUK MENUNJUKKAN KECANTIKAN MELIPUTI SEMUA ASPEK KEHIDUPAN TERMASUKLAH MAKANAN

Meliputi semua: Eugene menyatakan bahawa rejim kecantikan meliputi setiap aspek kehidupan, termasuklah makanan.

Kedai kecantikan ini juga dilengkapi sebuah kafe, yang mempunyai lebih daripada 30 campuran teh organik yang berbeza untuk melengkapkan produk penjagaan kulitnya.

“Kafe kecantikan kami di dalam premis bukan hanya berfungsi untuk menyajikan hidangan.

“Ia juga memberikan kami peluang terbaik untuk berkongsi dengan pelanggan kami tentang bagaimana bahan makanan biasa boleh memberi manfaat kepada rutin penjagaan kulit mereka.

“Kafe ini juga menyajikan kuih-muih, kek dan kopi. Kegemaran saya adalah kek coklat arang hitam.

“Kek yang menyelerakan ini mengandungi serbuk arang hitam untuk membantu membuang toksik yang terdapat pada tubuh.

“Minuman yang diselitkan dengan air mawar, laici dan kelapa juga ada tersenarai di menu,” tambahnya lagi.

Minuman kegemarannya adalah teh yang diberi nama Truly Asia.

Ia sebuah jus manis yang dibuat daripada  campuran buah betik, nenas, serai dan bunga telang.

Bunga telang inilah yang memberikan minuman ini warna birunya yang mendalam.

“Ramai yang berfikir kecantikan dan penjagaan kulit adalah dua perkara yang berasingan.

“Bagi saya, kecantikan adalah sesuatu yang diterapkan ke dalam setiap aspek kehidupan saya,” kata Eugene, yang mempelajari naturopati klinikal di ACNT Australia.

“Sebagai contoh, penggunaan karetanoid.

“Ia boleh mengawal penghasilan melanin serta membantu dalam masalah pigmentasi.

“Makanan dengan antioksidan boleh membetulkan sesetengah kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas malah kadangkala, merangsang penghasilan kolagen.

“Tetapi anda perlu mengambil makanan ini secara teratur untuk mendapatkan manfaat secara maksimum, “tegas He.

 

TERDAPAT JUGA KHIDMAT RAWATAN WAJAH

Beliau berkata, salun kecantikan ini menerapkan rawatan muka Ceramiracle yang telah didaftar untuk menawarkan pelanggan pengalaman yang tersendiri.

Salah satu khidmat yang disarankan kepada pelanggan adalah sesi rawatan wajah ‘Celebrity Facial’, yang menghidratkan, menegang dan menghilangkan garisan halus, mencerahkan bintik gelap dan mencerahkan kulit wajah.

Ia menyasarkan tanda-tanda penuaan yang jelas kelihatan, ujar Eugene.

“Rejimen kecantikan yang holistik dan berprestasi tinggi ini mengembalikan keremajaan dalam satu sesi sahaja.

“Ini adalah pengalaman yang unik dan tersendiri yang bakal dinikmati oleh semua pelanggan kami.

“Ia akan membuat anda berasa seperti anda baru sahaja melalui sesi rawatan wajah yang bernilai jutaan ringgit,” terang Ada Hong, seorang ahli terapi kecantikan yang bekerja di Ceramiracle.

He berkata produknya telah diuji menurut piawai yang sepatutnya serta dibuat di dalam kemudahan yang mematuhi protokol Good Manufacturing Practice  (Amalan Penghasilan Baik)  seperti yang telah disyorkan oleh Food and Drug Administration (FDA), Amerika Syarikat.

Show More

Related Articles

Back to top button