Isu SemasaTempatan

Ramai Pelarian Mempunyai Bakat Terpendam

Pelarian yang menetap di Malaysia kini diberi peluang untuk mempamerkan bakat mereka menerusi pertandingan Refugees Got Talent yang diadakan oleh NGO Give&Go Malaysia.

 

BAKAT-BAKAT DARI NEGARA BERGOLAK

Antara pelarian yang paling menyerlah adalah Geeti Ara, berasal dari Pakistan, yang mempamerkan bakatnya  menerusi penulisan puisi, lukisan potret serta pengucapan awam yang luar biasa.

Ara merupakan calon persendirian di bawah International General Certificate of Secondary Education (IGCSE),  dan remaja berusia 18 tahun tersebut amat bersemangat tentang pendidikan.

“Semua kanak-kanak adalah kanak-kanak, kita tidak boleh membezakan mereka sama ada mereka adalah rakyat Malaysia atau pelarian. Hak kanak-kanak adalah untuk belajar.

“Sekiranya mereka tidak ke sekolah, mereka mungkin menjadi penjenayah, tetapi jika mereka mendapat pendidikan, mereka mungkin boleh menyumbang kepada komuniti,” terang Geeti, yang melarikan diri dari negara asalnya ketika komuniti Islam Ahmadiyya di negaranya telah dibunuh.

Sementara itu, dua beradik bernama Parisa Ahmadi dan Samana Ahmadi, masing-masing berusia 22 dan 18 tahun, bersemangat untuk menyertai pertandingan ini dan berharap mereka dapat mara ke pusingan seterusnya.

Mereka melarikan diri dari Afghanistan bersama keluarga beberapa bulan yang lalu selepas dianiaya di tanah air sendiri.

“Kami telah meninggalkan kehidupan serta pengajian kami – kami telah meninggalkan segala-galanya di sana untuk datang ke sini.

“Memulakan kehidupan baru adalah sukar. Sekarang, semuanya kabur, seperti di mana harus kami tinggal (tempat berteduh), ” ujar Parisa.

Memetik laporan The Star, Parisa mempunyai bakat hebat dalam melukis serta menulis cerpen, malah dia juga pernah menerbitkan sebuah buku berjudul Girl Attractions di Kabul.

“Saya meluahkan emosi, perasaan dan idea wanita Afghan (menerusi hasil seni),” katanya.

Tambahnya lagi, dia menulis tentang isu dan masalah yang dihadapi oleh wanita Afghanistan.

Samana juga berbakat dalam melukis dan mengecat, di mana remaja itu bercita-cita menjadi seorang artis terkenal suatu hari nanti.

“Saya dan kakak ingin mempamerkan hasil seni kami di dalam sebuah galeri suatu hari nanti untuk meningkatkan bakat kami,” terangnya, sambil menambah bahawa pertandingan adalah sebuah platform terbaik untuknya mereliasasikan impian mereka.

 

PERTANDINGAN BUANG TANGGAPAN NEGATIF TENTANG GOLONGAN PELARIAN

Melalui pertandingan ini, Hasan Al-Akraa dan Alaa Bakkar, pengasas bersama Give & Go Malaysia, ingin membuang tanggapan negatif yang biasa dikaitkan dengan golongan pelarian.

“Apabila kita memikirkan tentang golongan pelarian, kita sering memikirkan tentang mereka  yang melarikan diri dari peperangan, dengan pakaian yang compang-camping serta mengemis.

Alaa dan Hassan pengasas Give and Go

“Objektif utama kami adalah untuk mengubah persepsi (orang ramai) tentang pelarian dan membantu mereka berfikir secara positif.

“Kami ingin menunjukkan kepada mereka bahawa pelarian mempunyai pelbagai bakat yang hebat, malah boleh melakukan pelbagai perkara yang menakjubkan, “kata Hasan.

Bagi mereliasasikan impian ini,  Hasan menghubungi bekas ratu cantik,  Deborah Henry, penyanyi Australia, Cassidy Anderson dan ahli jawatankuasa NGO Crefugees, Monir Azzouzi untuk menjadi juri  projek tersebut.

 

PLATFORM UNTUK MENGASAH BAKAT PELARIAN

Henry memuji inisiatif itu sebagai sebuah cara yang positif untuk peserta mengasah bakat mereka serta dan mendapat penghargaan oleh masyarakat.

Hasan dua dari kanan dengan juri pertandingan dari kiri Henry, Azzouzi dan Anderson

“Itulah sekumpulan orang yang digelar sebagai ‘pelarian’ yang tinggal di Malaysia perlukan – mereka memerlukan peluang untuk berjaya serta hidup dalam kegembiraan.

“Sedih melihat bakat semula jadi mereka disia-siakan sekiranya mereka tidak diberi peluang untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button