Teknologi

Mengapa Bunyi Haiwan Dipasang Pada Kereta Api?

Kereta api di Jepun dipasang dengan pembesar suara yang menghasilkan bunyi seakan-seakan mendengus dan menyalak untuk mengurangkan jumlah rusa yang dilanggar seterusnya mati di landasan kereta api.

Menurut laman web Daily Mail, peranti ini telah direka oleh sebuah pasukan di Institut Penyelidikan Teknikal Keretapi (RTRI) dan telah berjaya mengurangkan kehadiran rusa di landasan kereta api sebanyak 40 peratus.

 

IDEA TEKNOLOGI DARIPADA SIFAT SEMULA JADI RUSA

Menurut institut yang berpangkalan di Tokyo itu, rusa pada kebiasaannya akan berulang-ulang kali menghasilkan bunyi-bunyi pendek dan nyaring untuk memberi amaran kepada rusa lain apabila terdapatnya bahaya.

Kakitangan RTRI menjelaskan bahawa idea tersebut mungkin akan menjadi lebih efektif jika ia digabungkan dengan bunyi anjing menyalak untuk menakutkan rusa, lapor akhbar Asahi Shimbun.

Rusa Sika Jepun

 

BAGAIMANA TEKNOLOGI INI BERFUNGSI?

Apabila rusa mendengar gabungan bunyi rusa mendengus selama 3 saat dan bunyi anjing menyalak selama 20 saat, mereka akan panik dan melarikan diri dengan segera.

“Sekiranya peralatan baru kami ini berfungsi, kami tidak perlu memasang kemudahan anti-pencerobohan yang perlu dipasang di banyak lokasi,” kata seorang pegawai RTRI.

Alat peranti baru tersebut dijangka akan dilancarkan di seluruh Jepun pada tahun ini.

Dalam pada itu, ujian juga telah dijalankan terhadap keretapi yang beroperasi di antara waktu lewat petang dan larut malam memandangkan kebanyakan rusa kerap keluar pada waktu berkenaan.

 

KEBERKESANAN TEKNOLOGI

Hasil ujian itu mendapati bahawa kehadiran rusa hanya 7.5 kali bagi setiap 100 kilometer, iaitu penurunan sebanyak 45% berbanding sebelum ini.

Menurut kementerian pengangkutan Jepun,  tahun 2016 hingga 2017 merekodkan 613 kes pelanggaran kereta api dengan rusi serta haiwan liar lain sehingga menyebabkan perkhidmatan digantung atau tertunda selama sekurang-kurangnya 30 minit.

Bilangan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 185 kes dari tahun sebelumnya.

Sebelum ini, antara langkah yang diambil untuk menjauhkan rusa adalah dengan menggunakan lampu merah berkelip dan juga meletakkan najis singa di laluan kereta api, namun ia terbukti tidak berkesan.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button