Isu SemasaTempatan

Penerjun Payung Wanita Di Iran Cabar Stereotaip

Sejak revolusi Islam di Iran pada tahun 1979, wanita mempunyai status lebih rendah daripada lelaki dari segi undang-undang.

Bagi penerjun payung Baherah Sassani, sukan terjun udara adalah satu cara untuk membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan aktiviti yang sama seperti lelaki.

Akauntan berusia 35 tahun itu bermula terjun udara dua tahun lalu tetapi telah melakukan lebih daripada 220 lompatan.

Beliau berkata motto hidupnya adalah, “tidak ada perbezaan antara lelaki dan wanita, dan wanita boleh melakukan apa sahaja yang diinginkan dan mampu berjaya”.

Walau bagaimanapun, Sassani enggan memanggil dirinya seorang “feminis”.

Satu-satunya cara beliau dapat melakukan hobi kegemarannya adalah bersama tentera kerana tiada kelab terjun payung yang wujud di negara berkenaan.

“Apabila mereka menganjurkan lompatan, pihak tentera akan mengundang semua orang, termasuk orang awam,” jelasnya.

Sebelum ini terdapat segelintir penerjun payung wanita di dalam tentera ketika pra-revolusi Iran. Tetapi kini wanita tidak dibenarkan menyertai tentera.

Sassani berkata beliau memilih untuk membelanjakan wang dalam aktiviti payung terjun berbanding rakan-rakannya yang memilih untuk membeli kereta, pakaian atau barang perhiasan.

Hanya lima wanita lain di kalangan penduduk awam yang berkelayakan untuk melakukan aktiviti ini, tambah Sassani.

Pada mulanya, beliau melakukan terjun udara untuk mengatasi perasaan takut akan ketinggian, katanya. Tetapi sekarang beliau melakukannya kerana ia memberi rasa bebas daripada perkara harian.

Pelbagai reaksi

Reaksi lelaki agak ekstrem, katanya.

“Lelaki sering mengelak wanita seperti saya, mereka fikir kami tidak sesuai untuk berkahwin kerana kami tidak boleh dikawal,” katanya sambil ketawa.

“Tetapi sebilangan kecil menunjukkan minat terhadap apa yang saya lakukan.”

Ia juga telah menimbulkan minat di luar negara, kata Sassani, yang telah terjun udara di Rusia, Kenya, Thailand dan UAE.

“Malah, di luar negara, apabila saya terjun udara, ramai orang terkejut. Mereka fikir ada banyak larangan di Iran, tetapi saya menjelaskan kepada mereka bahawa terdapat sesetengah wanita yang melakukan motocross, memandu pesawat dan juga terjun payung,” katanya kepada AFP.

Gambar terkini yang menunjukkan Sassani melompat dengan bendera Iran telah tular di media negara tersebut.

“Saya berjumpa pelbagai budaya dan kepercayaan agama di luar negara, tetapi saya seorang patriot dan saya lebih suka melompat di Iran,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button