AntarabangsaIsu Semasa

India Sedia ‘Berperang’ Dengan China?

Minggu lepas, Kementerian Pertahanan India menyatakan bahawa negara itu akan membeli lebih daripada 160,000 senjata api bernilai AS$ 553 juta untuk anggota-anggota tenteranya yang ditempatkan di kawasan sempadan.

Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), 72,400 senjata daripada jumlah keseluruhan itu adalah senapang manakala 93,895 lagi adalah senjata karbin.

Pembelian senjata secara besar-besaran ini dilakukan untuk memenuhi keperluan pasukan pertahanan yang menjaga sempadan tibet, Bhutan dan juga Sikkim susulan keadaan yang semakin tegang di antara India dan China berhubung konflik dan pertikaian wilayah-wilayah berkenaan.

Sejak Narendra Modi mula memegang jawatan perdana menteri pada tahun 2014, New Delhi telah menandatangani beberapa perjanjian pertahanan yang besar dalam usaha mengukuhkan lagi kemampuan pertahanan India.

India juga merupakan pengimport pertahanan yang terbesar di dunia, dan negara itu turut melaburkan wang berbilion-bilion untuk ‘mengemas kini’ atau menaik taraf peralatan ketenteraannya bagi menangani isu pertikaian wilayah dengan China dan Pakistan.

Dalam pada itu, India, China dan Pakistan merupakan antara kuasa nuklear dunia ini, namun hanya lima negara sahaja (Amerika Syarikat, Rusia, China, Perancis dan United Kingdom) yang mendapat pengiktirafan rasmi untuk memiliki senjata nuklear secara sah menerusi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NTP).

Difahamkan, India dan China pernah berperang pada skala yang kecil di antara satu sama lain pada tahun 1962 disebabkan isu sempadan berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah negara tersebut juga terlibat dalam konflik wilayah Kashmir dengan Pakistan, di mana India telah mengerahkan seramai 500,000 anggota tentera di sana.

New Delhi turut menuduh Islamabad menghantar “pengganas” di sempadan itu untuk menentang pasukan keselamatannya.

Kashmir telah dibahagikan di antara India dan Pakistan sejak penjajahan British berakhir pada tahun 1947, namun kedua-dua negara itu saling menuntut wilayah tersebut secara keseluruhannya.

Setakat ini, India telah bertempur dalam tiga peperangan menentang Pakistan, dan dua daripadanya melibatkan isu pertikaian sempadan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close