AntarabangsaIsu Semasa

Hentikan Kekejaman Terhadap Haiwan

Aktivis-aktivis daripada Dog Meat-Free Indonesia Coalition (DMFI) menggesa kerajaan Indoensia untuk menutup pasar-pasar yang melakukan kekejaman ke atas haiwan, di mana anjing dibakar hidup-hidup untuk dijadikan hidangan makanan.

Dalam satu kenyataan, DMFI berkata bahawa beribu-ribu ekor anjing dan kucing dipukul/dibelasah secara terbuka, dibakar dan turut disembelih setiap minggu di negara itu untuk dimakan.

Memetik laporan Anadolu Agency, hanya 7% daripada 250 juta populasi keseluruhan di Indonesia yang gemar memakan anjing dan kucing.

Kumpulan tersebut juga dapat merakam keadaan di 200 pasar haiwan hidup di Utara Sulawesi, Tomohon dan Langowan, yang menunjukkan penderitaan yang dihadapi oleh haiwan-haiwan berkenaan.

Menurut Lola Webber, penyelaras kempen DMFI, haiwan-haiwan di pasaran-pasaran sedemikian berada dalam keadaan yang amat menyedihkan, di mana ia kerap jatuh sakit dan tercedera kerana dilayan teruk oleh peniaga-peniaga yang kasar.

“Ia seperti berjalan melalui neraka, mereka (haiwan) dikurung di dalam sangkar (sambil) menunggu ‘giliran’, dan berada dalam keadaan ketakutan apabila melihat haiwan-haiwan lain di sekeliling mereka dibunuh,” jelas beliau.

Sementara itu, Bobby Fernando daripada kumpulan Animal Friends Jogja berkata, ramai orang akan terkejut dengan kekejaman di dalam video-video tersebut, namun kerajaan dan masyarakat perlu memberi perhatian untuk menangani gejala ini.

Oleh yang demikian, golongan aktivis menyeru kerajaan tempatan dan pengendali pelancongan untuk berhenti mempromosikan pasaran-pasaran ini sebagai ‘tempat yang wajib dikunjungi’ oleh pelancong asing.

“Haiwan-haiwan ini terpaksa mengharungi kekejaman setiap hari, dan mereka tidak mempunyai sesiapa kecuali kita untuk bersuara bagi pihak mereka,” kata Fernando.

Ujarnya lagi, slogan “Wonderful Indonesia” yang bertujuan untuk menarik pelancong adalah slogan yang ‘kosong’ atau tidak membawa sebarang makna apabila orang ramai melihat situasi sebenar di pasar-pasar itu.

“Kami memerlukan seluruh dunia untuk bersama kami untuk menggesa pengakhiran perdagangan daging anjing dan kucing di Indonesia.

“Bertindak di http://www.dogmeatfreeindonesia.org dengan meluahkan suara anda kepada kerajaan Indonesia dan menandatangani petisyen kami,” tegasnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close