Isu SemasaTempatan

PRU14: #UndiRosak Boleh Menjejaskan Kedudukan Pembangkang

Sejak kebelakangan ini, demam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin dirasai memandangkan ia boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Sejak tahun lepas lagi, terdapat pelbagai spekulasi bahawa PRU14 akan diadakan lebih awal, iaitu bila-bila masa di antara Tahun Baru Cina pada bulan Februari dan Hari Raya pada bulan Jun.

Sekiranya ia tidak diadakan awal, PRU harus berlangsung selewat-lewatnya pada bulan Ogos memandangkan penggal pemerintahan kerajaan selama lima tahun sejak PRU13 yang lalu akan tamat.

Pilihan raya paling hangat

PRU pada kali ini akan menjadi yang paling hangat dalam sejarah, antaranya adalah kerana ‘comeback’ bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ke dalam dunia politik, namun beliau kini menjadi ketua pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Walau bagaimanapun, ramai pihak berpandangan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dijangka akan meraih kemenangan 2/3 majoriti di dalam parlimen dalam pemilihan kali ini walaupun mencatatkan rekod yang buruk dalam pilihan raya pada tahun 2008 dan 2013.

PRU12 pada tahun 2008 yang juga dikenali sebagai ‘tsunami politik’, merupakan kali pertama BN gagal meraih 2/3 majoriti sejak tahun 1969.

Menurut Dr. Khoo Ying Hooi, seorang pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universti Malaya (UM), di dalam penulisannya berjudul “Will #SpoiltVote Impact Malaysia’s Upcoming General Election?”, pemimpin-pemimpin PH telah sebulat suara mengumumkan Tun Dr. Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya pakatan itu memenangi PRU14 nanti.

Dalam pada itu, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, isteri kepada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi calon timbalan perdana menteri.

Namun begitu, keputusan itu mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pihak, termasuk pemimpin-pemimpin akar umbi di dalam PH.

Menyeru pengundi boikot

Hal ini juga mendorong kepada kewujudan kempen undi rosak atau ‘spoilt vote’, di mana ia menyeru pengundi untuk memboikot pilihan raya atau merosakkan undi mereka sebagai tanda protes dan ketidakpercayaan mereka dalam sistem politik.

Dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai platform, pihak-pihak terbabit menyebarkan mesej mereka dengan menggunakan hashtag seperti #UndiRosak atau #SpoiltVote.

Trend ini ternyata membimbangkan pemimpin-pemimpin PH dan sesetengah kumpulan masyarakat sivil, terutamanya mereka yang memperjuangkan ‘kesedaran dalam pilihan raya’.

Sekiranya kempen undi rosak ini berjaya, ia berpotensi menjejaskan peluang PH untuk meraih kerusi di Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menyumbang kepada kemenangan BN.

Dr. Khoo berkata, hal ini adalah kerana BN memiliki sokongan dan jentera yang lebih mantap, seperti kawalan ke atas media arus perdana.

Tetapi, walaupun PRU14 sudah dekat, masih terdapat ramai individu yang sudah layak mengundi belum mendaftar sebagai pengundi.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada bulan September 2017, terdapat kira-kira 14.8 juta pengundi berdaftar, namun masih ada 3.6 juta individu berusia 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar.

Ini menunjukkan bahawa golongan ini mungkin tidak sedar akan tanggungjawab mereka terhadap negara atau mereka sengaja ‘melepaskan’ kuasa mereka untuk mengundi.

Sementara itu, sebuah kajian terbaru bertajuk “Youth Perception on Economy, Leadership and Current Issues,” yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre dan Watan, hanya 30% responden belia yang mengambil peduli tentang politik sementara baki selebihnya lebih mengambil berat terhadap ekonomi negara.

Daripada 604 responden yang berusia di antara 21 hingga 30 tahun, 57% merasakan bahawa negara kini menuju ke arah yang salah.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker