Isu SemasaTempatan

Menyewa Sambil Menabung Dengan Kediaman MyTransit

Projek Perumahan Transit Belia (RTB) atau MyTransit, di mana golongan muda boleh menyewa rumah ini selama tempoh 5 tahun sementara mengumpul duit/menabung untuk membeli rumah sendiri yang lebih baik dan selesa.

Tahun lepas, kerajaan telah mengumumkan sebuah projek khas dalam usaha membantu golongan muda M40 yang berpendapatan isi rumah sederhana antara RM3,860 hingga RM8,319.

Kerajaan akan membina sebanyak 10,000 unit rumah sedemikian dan bagi fasa pertama, sebanyak 2,010 unit akan dibina di Mukim Batu dan Kepong, Kuala Lumpur, dan pembinaannya akan bermula mulai awal bulan depan, dan dijangka siap dalam tempoh 4 tahun.

Apakah keistimewaan RTB ini berbanding jika anda menyewa rumah-rumah lain di pasaran?

Yang paling menarik sekali adalah kadar sewaannya yang 30% lebih rendah daripada harga pasaran.

RTB mempunyai dua jenis unit, iaitu studio berkeluasan 400 kaki persegi dan unit dua bilik berkeluasan 550 kaki persegi.

Kadar pembayaran sewa sebulan bagi unit yang pertama adalah RM 400 manakala unit kedua pula  adalah RM 550.

Bukan itu sahaja, malah rumah ini juga dilengkapi dengan perabot-perabot asas yang ternyata akan mengurangkan beban penyewa sekali gus membolehkan mereka untuk menjimat wang yang lebih banyak.

Seperti yang dimaklumkan di atas, RTB juga bukan hanya menyediakan rumah sementara sahaja kepada golongan muda, tetapi ia juga mempunyai konsep “forced saving” atau ‘menabung secara paksa’ yang membolehkan penyewa membuat simpanan bagi membeli rumah sendiri pada masa akan datang.

Daripada setiap pembayaran sewa bulanan, sebanyak RM 250 akan dikumpul dan kemudian dikembalikan semula kepada penyewa selepas tamat tempoh 5 tahun menetap di sana.

Sebagai contoh, penyewa yang membayar sewa RM 400 sebulan sebenarnya hanya membayar RM 150 sahaja, dan baki RM 250 tersebut akan dikumpul oleh Kerajaan di dalam Tabung Amanah Perumahan Transit sehingga tamat tempoh penyewaan.

Selepas tempoh 5 tahun itu berakhir, wang simpanan penyewa akan mencapai RM 15,000 dan sekurang-kurangnya, ia boleh digunakan sebagai wang deposit untuk membeli rumah sendiri.

Dalam pada itu, kerajaan juga tidak mengambil sebarang untung daripada skim ini.

Show More

Related Articles

Back to top button