Gaya HidupPercutian

Inginkan Teman Untuk Melancong? Blogger Ini Boleh Mengikut Anda!

Jika anda kerap mengembara berseorangan, namun menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian, ada seseorang yang boleh membantu anda.

Seorang blogger sedang menawarkan dirinya untuk menemani mana-mana individu lain yang mahu melancong, sekali gus menjadikannya pembantu pelancong yang pertama di dunia.

Henna Rinnekangas menawarkan khidmat teman pelancongan

 

UPAH YANG UNIK

Blogger bernama Henna Rinnekangas, ingin berbuat demikian dengan upah yang unik iaitu pelancong tersebut perlu membayar kos perbelanjaannya ketika mengembara bersama mereka.

Menurut Daily Mail,  wanita berusia 32 tahun yang berasal dari Finland itu menawarkan perkhidmatan untuk menjadi teman percutian bagi mereka yang gemar melancong bersendirian.

Sasarannya atau ‘target audience’ adalah golongan yang “memerlukan bantuan ketika mengembara/melancong”.

Selain daripada mereka yang kurang mahir atau tidak biasa melancong berseorangan, tawaran ini turut terbuka kepada golongan orang kurang upaya.

 

 

HENNA MINAT MENGEMBARA

Sejak memulakan misi pengembaraannya sejak tahun 2011, Henna telah berjaya menjejakkan kaki di lebih daripada 40 buah negara di seluruh dunia.

Pada tahun 2014 pula, beliau mewujudkan blognya sendiri bernama Whattawoworld, di mana segala sejarah/kisah pengembaraannya direkodkan di sana.

Kini, beliau berharap orang ramai akan menggunakan perkhidmatannya sebagai teman perjalanan peribadi.

“Terdapat sangat ramai individu yang tidak pernah pergi melancong dan tidak tahu apa yang ditawarkan oleh dunia.

“Malang sungguh,  kerana setelah melihat dunia, ia akan meluaskan perspektif seseorang.

Henna di Canada

“Terdapat beberapa sebab yang menghalang individu dari mengembara: kecacatan, rasa fobia menaiki kapal terbang, tidak pandai mengembara berseorangan dan berbagai-bagai sebab lain lagi.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memberi mereka pengalaman yang hebat ketika mengembara.

“Pada masa yang sama,  saya dapat melakukan sesuatu yang saya suka iaitu melancong.  Sentiasa menjadi cita-cita saya untuk menjana pendapatan dengan melancong,” ujar Henna.

 

PERSONALITI YANG MENARIK

Personaliti Henna yang terbuka serta mudah bergaul dengan orang lain menjadikan perkhidmatan ini sebagai sebuah pekerjaan yang ideal untuk dirinya.

“Saya seorang yang lucu, senang bergaul, dan menghormati semua orang.

“Saya mempunyai personaliti yang berani dan spontan – jadi mereka (pelanggan) pasti akan menikmati pengalaman  yang hebat ketika bersama saya,” jelasnya.

Henna di Mexico

Walau bagaimanapun, masih belum ada mana-mana individu yang ‘berani’ untuk mengambil peluang keemasan ini.

Henna berjanji untuk memberikan pengalaman pengembaraan yang tidak dapat dilupakan memandangkan pelanggan yang akan mengambil perkhidmatan ini menaruh kepercayaan penuh kepadanya.

“Mungkin perbuatan ini gila, namun tidak apa jadi sedikit ‘gila’,” katanya.

Namun tegas beliau,  pelanggan perlu menanggung kos perbelanjaan perjalanan mereka serta wajib memahami  bahawa perkhidmatan ini bukan satu ‘temujanji’ (dating) atau ‘perkhidmatan pengiring’.

Rancangan Henna yang seterusnya adalah untuk menjelajah seluruh Asia selama sepuluh minggu, sebelum menghadiri Sukan Olimpik Korea Selatan.

 

MENCINTAI ALAM SEMULA JADI

Memandangkan Henna adalah seorang pencinta alam semula jadi, pengalaman yang paling manis adalah ketika beliau berada di Kanada dan New Zealand kerana persekitarannya yang indah.

Sekiranya ada peluang, beliau berhasrat untuk pergi ke Afrika, Hawaii dan Mexico bersama-sama pelanggannya pada masa akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button