Gaya HidupKesihatan

Pernah Dengar Tentang NCD?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) membahagikan punca kematian kepada tiga kategori iaitu:

  • Penyakit berjangkit, maternal, perinatal dan pemakanan: Contohnya, HIV/AIDS dan kekurangan Vitamin A.
  • Penyakit tidak berjangkit, atau Non Communicable Diseases (NCD): Contohnya, kanser dan diabetes.
  • Kecederaan: Contohnya cedera akibat kemalangan jalan raya dan keracunan.

 

DEFINISI NCD

Berdasarkan laporan Khazanah Research Institute, NCD adalah penyakit kronik yang tidak disebarkan daripada seseorang kepada orang lain seperti penyakit berjangkit, misalnya tuberculosis (batuk kering).

 

CIRI-CIRI NCD

NCD boleh dicegah dan kebanyakannya dikaitkan dengan pilihan gaya hidup serta tingkah laku individu, seperti merokok, penyalahgunaan alkohol dan amalan pemakanan tidak sihat (sebagai contoh, pemakanan yang tinggi kandungan gula dan/atau garam).

NCD boleh dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya adalah:

Neoplasma malignan (contohnya kanser)

Diabetes mellitus (kencing manis)

Gangguan mental dan penggunaan bahan (contohnya ketagihan dadah dan autisme)

Penyakit kardiovaskular (contohnya penyakit jantung dan strok)

Penyakit respirasi (contohnya asma)

Penyakit kulit

Penyakit rangka otot (contohnya sakit belakang dan leher, dan gout)

Anomali kongenital (contohnya sindrom Down)

 

KADAR KEMATIAN PRAMATANG DI MALAYSIA DAN ASIA TENGGARA

Penyebab utama kematian pramatang di Malaysia adalah penyakit jantung, yang selalunya berlaku akibat amalan gaya hidup yang tidak sihat.

Selain itu, empat jenis NCD lain juga merupakan antara 10 punca utama kematian di Malaysia:

  • Penyakit kardiovaskular (contohnya serangan jantung dan strok) – serangan jantung merupakan penyebab nombor satu kematian, manakala strok penyebab ketiga.
  • Kanser (contohnya kanser kerongkong dan paru-paru) – penyebab kelapan kematian.
  • Penyakit respirasi kronik (contohnya penyakit paru-paru dan asma) – penyebab keenam kematian.
  • Diabetes – penyebab kesembilan kematian.

Penyakit-penyakit ini merangkumi 39.8% daripada kadar kematian di Malaysia pada 2015.

Jika dibandingkan dengan negara serantau, empat jenis penyakit berkenaan menunjukkan pola yang sama, sebagai punca utama terhadap 39.6% anggaran kadar kematian dalam kalangan negara ASEAN.

Kajian telah menunjukkan bahawa perubahan tingkah laku dan tabiat boleh mengurangkan risiko kematian akibat NCD.

 

TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL UNTUK MENCEGAH NCD

Satu-satunya cara untuk mencegah serta mengurangkan risiko berlakunya NCD adalah menerusi diet dan aktiviti fizikal yang sesuai.

Terdapat juga, aspek lain yang perlu diambil berat iaitu kawalan tekanan, tidur yang cukup, serta menghentikan aktiviti merokok.

Sperti yang tertera dalam akhbar The Star, terdapat 7 langkah yang boleh diambil iaitu:

  1. Tahu keadaan kesihatan individu

Ini adalah langkah pertama dalam mencegah NCD.

Sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, individu perlu memeriksa keadaan kesihatan untuk mengetahui status kesihatan mereka.

Individu perlu berbincang dengan doktor untuk mengetahui keadaan yang normal dan sepatutnya bagi tubuh mereka.

Ini akan membantu individu memahami apa yang sedang berlaku di dalam tubuh mereka.

Seterusnya, mendekatkan individu kepada gaya hidup yang lebih baik

  1. Mengamalkan diet yang sihat

Ramai berpendapat makanan yang sihat adalah makanan yang hambar, membosankan, dan tidak menarik.

Makanan sihat yang sebenarnya memerlukan unsur “BMV” di dalam diet seseorang individu.

Pada asasnya ia bermaksud makanan yang SEIMBANG (balanced) dalam jumlah yang SEDERHANA (moderation)  dan dengan PELBAGAi jenis makanan (variety) berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.

Berbeza dengan tanggapan ramai, makanan yang sihat tidaklah mahal.

Perkara-perkara lain untuk dititik beratkan dalam pilihan makanan individu termasuklah:

  • Mendapatkan sumber serat yang mencukupi untuk memastikan berat badan yang ideal, pencernaan yang baik serta jantung yang sihat.
  • Mengurangkan pengambilan gula untuk mengelakkan pengambilan kalori berlebihan yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan.
  • Mengurangkan garam dalam makanan; sebaliknya, menggunakan herba dan rempah-ratus dalam makanan.
  • Mengehadkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi untuk mengekalkan berat badan dan jantung yang sihat.
  1. Mencegah NCD dengan kekal sihat dan aktif

Aktiviti fizikal meningkatkan kecergasan kardiovaskular, kekuatan dan fleksibiliti,  serta membakar kalori untuk memastikan anda sentiasa sihat dan kurus.

Hal ini akan membuat anda kelihatan, berasa dan berfikir dengan lebih baik.

Garis Panduan Pemakanan Malaysia mencadangkan agar semua orang dewasa meluangkan masa sebanyak 30 minit dalam masa sehari melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana sekurang-kurangnya lima hingga enam hari seminggu, sebaiknya setiap hari, untuk mengekalkan berat badan semasa.

  1. Rehat yang cukup

Tekanan berpanjangan telah dikenal pasti sebagai salah sebuah faktor yang meningkatkan risiko berlakunya NCD, terutamanya penyakit jantung.

Kebanyakan kita bersetuju kehidupan seharian boleh menyebabkan berlakunya tekanan.

Adalah normal untuk berhadapan dengan tekanan, namun begitu pendedahan yang berpanjangan kepada stress pada tahap yang berlebihan, pasti akan membahayakan kesihatan.

Beberapa cara yang boleh diambil untuk melegakan tekanan adalah untuk berbual dengan rakan-rakan atau mengambil cuti pendek untuk merehatkan diri.

  1. Berhenti merokok

Walaupun merokok nampak seperti tidak membahayakan kesihatan,  setiap batang rokok mengandungi ribuan bahan kimia yang boleh merosakkan organ yang sihat.

Merokok boleh menyebabkan pembuluh darah tersumbat, mengurangkan kadar aliran darah, serta menyebabkan ketagihan.

  1. Elakkan pengambilan alkohol

Sama seperti merokok, pengambilan alkohol yang terlalu banyak boleh meningkatkan risiko individu menghidap NCD.

Jika menghadiri majlis,  individu disarankan untuk minum minuman yang tidak mempunyai alkohol atau belajar bagaimana untuk mengehadkan pengambilan minuman beralkohol.

  1. Tidur dengan cukup

Kualiti tidur seseorang mempunyai hubungan secara terus dengan kehidupan seharian individu tersebut.

Hal ini ini termasuklah ketajaman mental, produktiviti, keseimbangan emosi, kreativiti dan kecergasan fizikal.

Oleh itu, individu  perlu pastikan mereka mendapat tidur yang cukup untuk berasa segar pada keesokan hari.

 

LANGKAH KERAJAAN UNTUK MENCEGAH NCD

Kementerian Kesihatan Malaysia menurut Berita Harian sedang menggesa penubuhan klinik senaman di setiap daerah sebagai usaha untuk mencegah (NCD) yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata, “terapi latihan menerusi klinik senaman berpotensi untuk mencegah NCD menerusi preskripsi jumlah senaman yang betul,”

Ujar Dr Hilmi lagi, kementeriannya akan bekerjasama dengan sektor swasta menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memberi kesedaran kepada orang ramai kepentingan menjalani gaya hidup sihat dengan berkunjung ke klinik senaman.

Show More

Related Articles

Back to top button