Hiburan

MPTN Bentang Kandungan Baharu Untuk 2018

Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) telah membentangkan pelbagai kandungan baharu yang akan disampaikan melalui semua platform media pada tahun 2018.

MPTN mendahului industri dengan keupayaan untuk mencapai sasaran kumpulan penonton terbesar iaitu 28 juta rakyat Malaysia menerusi empat stesen televisyennya, TV3, TV9, 8TV dan NTV7.

Mereka menyasarkan capaian pasaran meningkat kepada 40 peratus menerusi semua stesen televisyen berkenaan berbanding 34.4 peratus pada masa ini.

JOHAN Ishak (kanan), dan Rafiq Razali, pada sidang media di majlis pembentangan Kandungan-Kandungan Baharu Rangkaian Television Media Prima di Hotel Majestic. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ishak berkata, “Cara penonton menerima kandungan kami telah berubah. Kini, penonton mempunyai fleksibiliti untuk menikmati kandungan kami menerusi pelbagai platform, selain televisyen.”

Penjenamaan semula saluran ntv7 dan perubahan kandungan program bagi 8TV antara pendekatan baharu MPTN sepanjang tahun ini.

Ia akan membabitkan siaran program yang lebih bersasar kepada penonton Melayu menerusi barisan kandungan baharu.

Para penonton boleh menonton Feel Good Show setiap hari untuk hiburan pagi mereka, menyaksikan berita hiburan terkini di Pop! TV dan Pop! Ekspres dan nikmati pelbagai program hiburan di waktu puncak melalui Kata Serasi?, Ini Alif, dan S.O.S (Sayang Oh Sayang).

Saluran 8tv akan menyediakan lebih banyak rancangan berbahasa Cina dan turut menyediakan peluang bagi belia Malaysia menunjukkan dan menyerlah bakat tersembunyi melalui kempen Orikami & Newscaster Camp.

Sebelum ini 8tv telah berjaya menghasilkan musim kedua ‘I Can See Your Voice Malaysia’ versi Bahasa Cina.

Saluran TV9 juga menawarkan siaran tambahan bagi rancangan beli-belah dirumah iaitu CJ WOW shop yang akan ditayangkan setiap hari dari 8.30 pagi hingga 4.00 petang.

Platform jualan ini berpotensi mempromosikan dan mencatatkan trafik tinggi bagi jenama masing-masing.

TV3 iaitu saluran nombor satu di Malaysia sejak 34 tahun lalu sering mencipta kandungan mantap. Bagi tahun 2018, TV3 memperkenalkan pelbagai drama tempatan seperti Leftenan Zana dan Vila Ghazara tidak ketinggalan juga empat program realiti TV iaitu Bintang Bersama Bintang, Mentor Otai , Mentor 7 dan Da’i 6.

Bagi memberikan pengalaman terbaik untuk pengguna tonton yang kini mencecah 7.6 juta pengguna, pada tahun 2017 tonton telah berjaya menghasilkan filem asal seperti By My Side yang dicipta bersama JinnyBoyTV.

Dari kejayaan itu, tonton akan terus bekerjasama dengan saluran YouTube berbahasa Inggeris, JinnyBoyTV dan The Ming Thing dalam menyiarkan siri original eksklusif untuk para pengguna.

Bersesuaian dengan tema ‘Create and Dominate’, Johan berkata pihaknya akan terus melabur dalam siaran kandungan tempatan kerana ia membawa identiti unik berbanding pesaing lain.

“Kami bekerja dengan orang yang paling berbakat untuk menyampaikan siaran kandungan terbaik di seluruh platform televisyen dan digital kami.”

Show More

Related Articles

Back to top button