Isu SemasaTeknologiTempatan

Belia Malaysia Bangunkan Kereta Tanpa Pemandu

Gambar oleh REKA

Kenali Muhammad Haziq Faris Hasnol, CEO Reka berumur 27 tahun, yang telah membangunkan teknologi kereta tanpa pemandu.

Haziq sebelum ini pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge, UK dalam bidang sains komputer.

“Tetapi saya tidak menghabiskan pengajian ketika itu kerana menerima tawaran kerja dari Google di Amerika Syarikat,” jelasnya.

Beliau kemudian kembali ke Malaysia dengan hasrat untuk menyumbang tenaga dan kreativiti di tanah air sendiri.

Dua tahun sebelum mendirikan Reka Studios, beliau merantau satu Malaysia untuk mencari dan berjumpa individu-individu dengan kepakaran berbeza yang berkongsi impian yang sama.

Perjalanan itu telah berhasil menemukannya dengan seorang jurutera aeroangkasa tempatan yang sempat menimba ilmu bersama NASA di Amerika Syarikat dahulu dan juga individu yang bertanggungjawab membangunkan perisian face detection pada kamera Samsung.

Perkembangan Reka

Gambar oleh Paultan.org

Sejak September 2016, Reka telah mula membangunkan teknologi berkaitan kereta tanpa pemandu yang dihasilkan sendiri.

Ia bermula dari sebuah cip elektronik yang dinamakan Reka Innovation Gear (RIG).

“Sama seperti kebanyakan teknologi kereta tanpa pemandu lain yang ada ketika ini, sistem yang kami bangunkan juga berada dalam Tahap 3 bagi kategori pemanduan autonomous,” kata Haziq.

Ini bermaksud, teknologi R&D yang dibangunkan itu masih memerlukan manusia untuk memantau operasinya, tapi tidak memerlukan orang untuk duduk di kerusi pemandu dan mengendalikannya.

Setakat ini, mereka telah menghasilkan tiga prototaip kereta yang dipasangkan sistem ini. Versi paling awal menggunakan sebuah Proton Waja dan mula diuji pada November 2016.

Kira-kira sebulan selepas itu, mereka melakukan ujian perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menilai sistem berkenaan.

Agensi kerajaan tidak berminat

Ujar Haziq, teknologi tanpa pemandu kini sudah ada di Malaysia dan dibangunkan oleh warga tempatan sendiri, walaupun mungkin masih perlu diperkemaskan serba sedikit untuk produksi.

Beliau berharap teknologi Reka dapat dijadikan produk komersial, mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Dalam satu temubual bersama Paultan.org, Haziq menyatakan beberapa pengeluar dan agensi kerajaan yang sudah ditemui tidak menunjukkan minat dengan produk yang dicipta oleh warga Malaysia ini.

Tawaran luar

Tambah Haziq, Reka telah menerima tawaran dari pihak luar yang berminat untuk menjalin kerjasama serta melanjutkan pembangunan teknologi ini, antaranya dari firma di Singapura dan Australia.

Tetapi, buat masa ini, mereka agak keberatan untuk memilih jalan itu, disebabkan syarat yang dikenakan.

Ini bermaksud mereka perlu memindahkan pusat operasi ke sana serta paten terhadap rekaan yang dibangunkan juga akan berpindah tangan.

Masa depan Reka

Gambar oleh Paultan.org

Jika Reka bekerjasama dengan pengeluar atau agensi kerajaan, mereka dapat menjalin usaha dalam memperkemas dan mempertingkatkan kemampuan teknologi ini, atau dapat mempatenkan teknologi ini agar ia menjadi satu produk yang hakciptanya dimiliki oleh syarikat Malaysia.

“Kami tidak menolak tawaran pihak luar yang ada, tetapi dalam tempoh setahun-dua ini kami akan cuba bertahan dan mencari jalan untuk menyumbang tenaga dan kemahiran dalam negara sendiri. Kalau masih tak berhasil, barulah kami akan pertimbangkan untuk terima tawaran dari pihak luar negara,” jelasnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close