Bisnes & Ekonomi

Sekatan Perdagangan Terhadap Produk Tembakau Dan Alkohol

Demi menjaga kebajikan serta kesihatan rakyat Malaysia, kerajaan telah mewujudkan insentif ataupun sekatan perdagangan bagi penggunaan barangan tertentu.

Antara barangan tersebut adalah hasil tembakau dan produk beralkohol.Hal ini adalah disebabkan kesan negatif yang jelas terhadap kesihatan tubuh disebabkan kegiatan merokok, antaranya ia merupakan punca terjadinya 16 jenis kanser seperti kanser mulut dan kanser paru-paru seperti yang diterangkan laman web Cancer Council.

Menurut Web MD, antara penyakit yang berpunca daripada pengambilan alkohol secara berlebihan adalah anemia, kanser, penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung) dan penyakit hati yang kronik.

Antara insentif ataupun halangan yang dikenakan adalah cukai, tarif dan duti eksais.

 

TINDAKAN MENGENAKAN CUKAI

Menurut laporan yang disediakan Khazanah Research Institute yang bertajuk Mengapakah Perdagangan Itu Penting? Mengkaji isu perdagangan berkaitan penyakit tidak berjangkit, ubat penting dan pendidikan, sesebuah negara boleh menggunakan cukai untuk mencapai matlamat dasar kesihatan dengan menaikkan atau menurunkan harga produk dan dengan demikian, mewujudkan insentif ataupun sekatan bagi penggunaan barangan tertentu.

Di Malaysia, cukai dikenakan terhadap rokok dan minuman beralkohol.

Hal ini selari dengan saranan WHO agar cukai terhadap tembakau dan produk tembakau dinaikkan untuk mengekang rakyat daripada membelinya.

 

TARIF BAGI BARANGAN IMPORT

Malaysia juga mengenakan tarif. Tarif adalah sejenis cukai yang dikenakan ke atas barangan apabila mereka dibawa masuk merentasi suatu sempadan negara.

Jadi penggunaan tarif boleh meninggalkan kesan kepada produk yang berkenaan kerana barang import yang dikenakan tarif akan mengalami kenaikan harga yang sangat ketara berbanding produk tempatan.

Kerajaan juga boleh mengenakan tarif yang berbeza mengikut negara tertentu.

Sebagai contoh, nilai wain Australia yang dieksport ke negara ini pada 2015 adalah, AUD53j (RM155j) manakala tarif yang dikenakan terhadap wain Australia adalah antara RM7 hingga RM23 seliter.

Penurunan tarif ini akan menyebabkan berkurangnya hasil kerajaan yang diperoleh daripada minuman beralkohol.

Dalam perjanjian perdagangan antarabangsa, seperti perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (Regional Comprehensive Economic Partnership, RCEP) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement, TPPA), negara anggota perjanjian ini boleh berbincang serta merundingkan paras tarif yang akan dikenakan terhadap produk eksport masing-masing.

 

CUKAI EKSAIS

Di samping itu, kerajaan juga mengenakan cukai eksais terhadap pengguna bagi setiap barangan yang dibeli.

Contoh yang dikenali ramai, bagi cukai eksais adalah cukai barangan dan perkhidmatan (goods and services tax, GST).

Satu contoh yang lebih khusus ialah cukai eksais terhadap barangan tertentu: lebih banyak rokok atau bir dibeli oleh seseorang itu, maka lebih banyak cukai yang dibayar olehnya.

Secara keseluruhannya, WHO menyarankan supaya cukai eksais rokok seharusnya merangkumi 70% daripada harga akhir

 

PENGAWALAN PEMASARAN DAN PROMOSI

Selain tidak mengalakkan rakyat membeli produk tembakau dan alkohol secara langsung menerusi tiga kaedah yang dijelaskan di atas, kebanyakan kerajaan mengawal pengiklanan rokok.

Terdapat juga kerajaan yang mengekang pengiklanan minuman beralkohol.

Undang-undang Malaysia tentang amaran merokok selari dengan komitmen yang dituntut oleh WHO FCTC.

Sebagai sebahagian daripada usaha global untuk mengurangkan bilangan perokok, WHO memperkenalkan FCTC pada 2003. FCTC merupakan perjanjian yang sah di sisi undang-undang yang dirundingkan di WHO.

Matlamat yang terkandung dalam perjanjian FCTC adalah:

“untuk menangani sesetengah punca epidemik (tembakau), antaranya faktor yang kompleks yang membabitkan kesan antarabangsa, seperti liberalisasi perdagangan dan pelaburan (langsung asing), serta pengiklanan, promosi dan penajaan tembakau”

Kerajaan yang menandatanganinya bertanggungjawab untuk menggubal dan melaksanakan langkah kawalan tembakau berasaskan bukti untuk mengawal penawaran dan permintaan tembakau domestik dalam usaha untuk mengurangkan kes kematian dan penyakit yang berkait dengan tembakau.

Pada masa ini, terdapat 180 negara yang telah menandatangani FCTC, Malaysia adalah salah sebuah negara tersebut.

Peraturan Kawalan Produk Tembakau (Control of Tobacco Products Regulations) menyatakan bahawa mesej tentang amaran kesihatan harus meliputi sekurang-kurangnya 55% daripada maklumat yang dipaparkan pada kotak rokok yang hendak dijual dalam pasaran negara.

Malaysia juga mengharamkan apa-apa bentuk pengiklanan produk tembakau, misalnya poster, risalah dan siaran iklan di televisyen.

 

CIRI-CIRI PEMBUNGKUSAN ROKOK YANG TELAH DIPERSETUJUI KOMUNITI GLOBAL

Australia merupakan negara pertama yang melaksanakan dasar pembungkusan biasa untuk rokok menurut Akta Pembungkusan Biasa Tembakau 2011.

Menurut peraturan ini, pengeluar tembakau dilarang mencetak apa-apa logo jenama, warna dan gambar pada kotak rokok mereka.

Hanya nama jenama yang dibenarkan untuk dicetak mengikut format standard yang telah ditetapkan.

Perlaksanaan langkah ini adalah berdasarkan bukti empirikal yang mendapati bahawa pembungkusan tembakau yang menarik sangat berkait rapat dengan pemupukan tabiat merokok.

Peraturan ini merupakan antara pendekatan komprehensif kerajaan Australia untuk mengawal produk tembakau.

Tujuan Akta Pembungkusan Biasa Tembakau 2011 ini adalah untuk mengekang rakyat Australia daripada membeli produk tembakau dan menggalakkan mereka supaya tidak menggunakannya.

Peraturan pembungkusan biasa ini merupakan satu alat dasar yang mendapat sokongan WHO melalui FCTC.

Langkah pengawalan pemasaran ini mencetuskan kontroversi apabila, negara ini telah diheret buat pertama kalinya ke mahkamah timbang tara antarabangsa  oleh pihak industri tembakau dan juga negara-negara lain.  atas tindakannya mengenakan peraturan tertentu terhadap pembungkusan rokok.

 

TINDAKAN AUSTRALIA MENJADI CONTOH BAGI NEGARA LAIN

Bagaimanapun, negara-negara lain turut mencontohi langkah Australia ini.

Ireland, sebagai contoh, telah meluluskan undang-undang berhubung dengan pembungkusan rokok, justeru semua rokok yang dikeluarkan untuk pasaran negara itu diwajibkan dibungkus dalam pembungkusan biasa mulai 2017.

Langkah ini adalah sebahagian daripada matlamatnya untuk menjadi masyarakat bebas tembakau menjelang tahun 2025

 Kerajaan United Kingdom (UK) juga telah meluluskan undang-undang yang selari dengan langkah ini, berkuat kuasa pada Mei 2017.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button