FesyenGaya Hidup

MedShoe: Bergaya Sambil Menjaga Kesihatan

Memilih kasut seharusnya tidak hanya dipandang pada gaya, sebaliknya perhatian khusus terhadap keselesaan kaki juga perlu diambil kira.

Jika dulu kasut khusus untuk masalah kaki mempunyai rekaan yang agak ketinggalan zaman dan tidak banyak pilihan, jangan terkejut sekiranya kini terdapat pelbagai rekaan moden dan bergaya setanding jenama kasut terkemuka tapi dilengkapi ciri khas untuk penjagaan kaki.

Antara syarikat pengeluar kasut kesihatan menawarkan produk yang lebih bergaya dan sesuai untuk semua peringkat umur ialah Medshoe.

Pengusahanya Nur Diana Dzulkiply berkata, kasut kesihatan pada awalnya tertumpu kepada kasut khas buat pesakit kencing manis, artritis, sakit tumit dan lenguh, masalah lutut, belakang badan dan keletihan kaki akibat aktiviti harian, namun tidak banyak pilihan menarik kerana aspek keselesaan paling diutamakan.

Bagaimanapun, katanya, atas maklum balas mereka yang sudah mencuba kasut keluaran syarikat itu ramai yang mahu ia diberi sedikit sentuhan moden dan mengikut fesyen terkini.

“Walaupun ada masalah kaki atau menghidapi penyakit tertentu, tidak semestinya mereka perlu kelihatan sakit sebaliknya boleh tampil dengan penuh yakin termasuklah dalam soal pemilihan kasut.

“Jadi, kami pastikan semua ciri penting seperti keselesaan, teknologi dan kesihatan dikekalkan sebanyak mungkin dan mengubah rekaan agar lebih trendy dan moden,” katanya.

Menurutnya, kasut jenama terbabit sesuai untuk semua golongan baik lelaki dan wanita, malah kasut jururawat keluaran syarikat mereka antara yang paling mendapat sambutan hangat, tulis Harian Metro.

Nur Diana berkata, idea untuk menawarkan kasut kesihatan bermula apabila dirinya sendiri mengalami kesukaran mendapatkan kasut sesuai dek kerana masalah obesiti dan cakera tergelincir.

Katanya, dengan berat badan berlebihan agak sukar mendapatkan kasut yang benar-benar menyokong pergerakannya sebaliknya dia selalu memilih kasut tidak bersesuaian hingga kakinya melecet dan sakit.

Dengan teknologi kusyen poron yang disertakan sebagai pelapik, kasut mampu menyerap hentakan di samping bertindak sebagai antibakteria dan kulat berupaya memberi keselesaan optimum kepada kaki si pemakai.

Sementara, potongan bahagian depan yang lebar memberi ruang buat jari kaki, sekali gus mengelakkan tekanan dan bebanan ketika berjalan. Tidak menggunakan kulit tulen, namun ciri lasak gentian mikro kasut itu tidak menjadikannya mudah lusuh, malah dijamin tahan hingga bertahun-tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button