AntarabangsaIsu Semasa

China Sekat Pelajar Sekolah Ke Masjid

Pihak berkuasa di daerah majoriti Muslim di barat laut China mengetatkan peraturan terkini mengenai kebebasan beragama dengan mengharamkan pelajar sekolah daripada menunjungi masjid semasa cuti musim sejuk.

Keputusan itu digariskan dalam notis yang dihantar kepada semua sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika di wilayah Guanghe, Gansu. Notis itu mengarahkan sekolah untuk melarang pelajar daripada memasuki tempat keagamaan untuk sebarang kegiatan agama semasa cuti musim sejuk.

Sekolah di semua peringkat dan jenis juga perlu mengukuhkan lagi kerja ideologi dan politik selain meningkatkan kerja publisiti untuk memberitahu setiap pelajar dan ibu bapa.

Menurut NST, notis itu disahkan kepada akhbar oleh jabatan publisiti tempatan daerah itu. Namun, tidak jelas mengapa sekatan itu dikuatkuasakan ketika musim cuti.

Sekitar 98 peratus daripada 257,000 penduduk Guanghe adalah etnik minoriti, ramai dari kumpulan Hui dan Dongxiang kebanyakan Muslim, menurut laman web kerajaan daerah itu.

Guanghe terletak di dalam Wilayah Autonomi Linxia Hui. Biro pendidikan Wilayah Linxia memberitahu bahawa mereka tidak mengetahui perkara itu, sementara jabatan propaganda daerah Guanghe menutup telefon.

Pada bulan Mei 2016, biro pendidikan Gansu mengeluarkan notis yang menyatakan bahawa aktiviti keagamaan dilarang di sekolah selepas video seorang kanak-kanak tadika dari Linxia membaca Al-Quran menjadi tular.

Pihak berkuasa China secara rasmi berhati-hati dengan sebarang pergerakan di luar kawalan mereka, termasuk kegiatan keagamaan.

Perlembagaan China menjamin kebebasan beragama. Tetapi laporan tahunan dari Jabatan Negara AS yang dikeluarkan tahun lepas mengatakan bahawa pada 2016, penganut agama berdaftar dan tidak berdaftar di China telah ditahan, diseksa secara fizikal, dihukum penjara, atau diganggu.

Pihak berkuasa bersiap sedia untuk melaksanakan kawalan larangan ke masjid dari 1 Februari. Peraturan-peraturan baru seperti memperhebat hukuman untuk kegiatan agama yang tidak disetujui dan meningkatkan pengawasan ke atas beberapa kelompok juga akan dilaksanakanĀ  dalam usaha untuk menyekat ekstremisme dan menangani ancaman dalaman.

Di rantau Xinjiang di barat China, penduduk Uighur yang kebanyakannya Muslim telah bergelut dengan larangan yang semakin ketat terhadap kepercayaan mereka, termasuk larangan berjanggut dan bersolat secara awam.

Show More

Related Articles

Back to top button