Teknologi

Adakah Teknologi Memudaratkan Kanak-Kanak?

Pada 9 hingga 12 Januari 2018, The International Consumer Electronics Show (CES) telah diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat bagi mempamerkan barang-barang perdagangan yang berkaitan dengan teknologi untuk pengguna.

.

 

KANAK-KANAK SASARAN INOVASI TERBARU

Bahagian kanak-kanak di pameran tersebut menggunapakai slogan ” innovations that enable 21st century kids to learn and play smarter than ever” (Inovasi yang membolehkan kanak-kanak abad ke-21 belajar serta bermain dengan lebih pintar)

Namun menurut akhbar The Straits Times pameran tersebut mungkin telah berlangsung pada masa yang kurang sesuai berikutan kerisauan pelbagai pihak tentang kanak-kanak kecil pada masa kini yang terlalu banyak terdedah kepada teknologi.

Ketika perbincangan tentang perkara ini sedang rancak berlangsung, peserta pameran di Las Vegas,  berusaha keras mempamerkan peranti yang digunakan untuk tujuan kesihatan, pendidikan dan hiburan kanak-kanak.

Antara hasil inovasi untuk kanak-kanak yang dipamerkan di CES adalah buku cerita interaktif, tablet warna-warni dan berus gigi canggih untuk meningkatkan semangat kanak-kanak menggosok gigi dengan betul.

 

BUKU CERITA INTERAKTIF CIPTAAN PAI TECHNOLOGY

Pai Technology memperkenalkan sistem buku cerita interaktif untuk kanak-kanak menggunakan teknologi realiti maya (virtual reality)

Menurut laman webnya, teknologi yang ditawarkan mereka “bertujuan memupuk rasa cinta terhadap aktiviti membaca” serta menawarkan “cerita-cerita yang mempunyai teladan.”

Amy Braun, pengarah pemasaran syarikat tersebut mengakui terdapat kebimbangan tentang pengunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak namun tegas mengatakan peranti yang digunakan dalam sektor ini sangat berharga.

“Teknologi akan kekal wujud dalam kehidupan seharian kita, jadi penting untuk kita mendedahkan anak-anak kita kepada teknologi tetapi dalam cara yang bermanfaat,” katanya.

“Pada kali ini, kami benar-benar tumpukan usaha kami untuk memastikan bahawa masa yang kami luangkan untuk menghasilkan inovasi untuk kanak-kanak adalah tentang pembelajaran dan pembangunan kanak-kanak. Kami tidak akan mengorbankan salah satu daripada perkara tersebut.”

Braun berkata,  ibu bapa berhak membuat keputusan tentang tempoh masa yang sepatutnya diluangkan kanak-kanak di hadapan skrin peranti.

Hal ini juga boleh digunapakai dalam  penggunaan teknologi lain.

 

KOMPUTER TABLET WARNA-WARNI HASIL INOVASI DRAGON TOUCH

Syarikat permulaan dari China,  Dragon Touch melancarkan komputer tablet berwarna-warni untuk digunakan kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun.

Ia datang beserta aplikasi pendidikan.

Lei Guo dari Dragon Touch berkata tablet ini mungkin bermanfaat namun masih mencadangkan ibu bapa untuk mengawasi penggunaannya.

“Saya tidak mahu anak-anak saya meluangkan terlalu banyak masa menggunakan internet,” ujar Lei Guo lagi.

“Sebab itulah kami juga mempunyai mod kawalan ibu bapa.

“Hal ini supaya mereka boleh menetapkan tempoh penggunaan internet.

“Contohnya mungkin 30 minit dalam sehari, ” tegas Lei Guo.

 

BERUS GIGI CANGGIH BERMANFAAT HASIL CIPTAAN KOLIBREE

Sementara itu, berus gigi augmented reality’ yang diperkenalkan oleh syarikat permulaan daripada Perancis, Kolibree membolehkan kanak-kanak melihat skrin telefon pintar atau tablet untuk memotivasi dan mendidik mereka tentang kepentingan kebersihan mulut.

“Dengan teknologi penganalisa imej, aplikasi ini mengesan gerakan yang dibuat ketika individu memberus gigi,” kata Leonard Williamson dari Kolibree.

Peranti tersebut menjadikan aktiviti memberus gigi sebuah permainan.

 Ini dicapai dengan memberikan kanak-kanak markah yang sepatutnya jika mereka memegang serta menggunakan berus gigi dengan betul.

Williamson menerangkan aktiviti berus gigi itu tidak akan menyebabkan kanak-kanak ketagih: “Kerana ia adalah sekadar aktiviti memberus gigi sebanyak 3 kali sehari, 2-3 minit setiap kali.”

Pameran elektronik itu telah lama menengahkan peranti khas untuk kanak-kanak,  malah peserta pameran biasanya merancang kandungan pameran serta produk mereka beberapa bulan lebih awal.

Di Amerika Syarikat, kumpulan Common Sense Media, mendapati 95 peratus keluarga AS mempunyai peranti mudah alih di rumah.

Kumpulan tersebut mengatakan jumlah masa yang diluangkan di skrin telah beralih dari televisyen ke peranti mudah alih.

 

TEKNOLOGI DARI APPLE MENYEBABKAN KETAGIHAN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK?

Pada awal bulan ini, dua pemegang saham besar mendesak Apple untuk mengkaji sama ada iPhone merupakan punca ketagihan dalam kalangan kanak-kanak dan jika penggunaan telefon pintar pada kadar yang banyak memberi kesan negatif kepada kesihatan mental mereka.

Para pelabur memetik sebuah kajian baru yang mengatakan perhatian kanak-kanak mudah teralih secara negatif oleh pengunaan teknologi digital di dalam bilik darjah.

Walaupun Apple tidak hadir pada CES,  namun begitu sistemnya banyak digunakan pencipta aplikasi mobil.

Pihak Apple dalam sebuah kenyataan berkata “Apple sentiasa menjaga kebajikan kanak-kanak. Kami berusaha keras untuk menghasilkan produk yang mantap dalam memberi inspirasi, menghiburkan dan mendidik kanak-kanak sambil berkebolehan membantu pihak ibu bapa melindungi anak-anak mereka ketika di atas talian. “

Di CES, Ahren Hoffmann dari American Specialty Toy Retailing Association berkata, menentukan sejauh mana teknologi sepatutnya digunakan oleh kanak-kanak “semuanya adalah tentang keseimbangan”

“Kami mahu memastikan bahawa anak-anak kita hari ini keluar dari rumah seterusnya bermain dan beriadah.

“Kita juga mahu memastikan mereka mahu bermain permainan tradisional dan permainan papan, sambil masih tahu menggunakan iPad dan permainan teknologi,  belajar tentang pengekodan dan perkara lain yang sedang berlaku di seluruh pelusuk dunia kini, “katanya kepada AFP di pameran itu.

Show More

Related Articles

Back to top button