AntarabangsaIsu Semasa

Jepun Diarah Berhenti Memburu Ikan Paus

Pada tahun 1986 Suruhanjaya Antarabangsa Pemburuan Paus (IWC) telah melarang kegiatian pemburuan ikan paus komersial, dan ia hanya dibenarkan untuk tujuan saintifik.

Namun, ia jelas merupakan tindakan mengecewakan bagi negara-negara yang menjalankan kegiatan pemburuan paus.

Jepun, negara yang aktif melakukan kegiatan ini sering mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa kerana dipercayai menggunakan alasan penyelidikan sains untuk memburu.

Program pemburuan Jepun dikutuk

Baru-baru ini, Kesatuan Eropah dan 12 negara lain telah mengutuk program pemburuan paus Jepun dan menolak alasan mereka yang mengatakan pemburuan tahunan tersebut adalah untuk tujuan saintifik.

Bulan lepas, kapal-kapal Jepun telah bergerak ke Lautan Selatan dengan tujuan untuk memburu 333 paus minke dalam tempoh empat bulan.

Menurut laporan AFP, agensi perikanan Jepun mengatakan pemburuan berkenaan diperlukan untuk mengkaji tingkah laku dan biologi ikan paus, tetapi pengkritik mengatakan penyelidikan kejam sedemikian tidak perlu dan hanya alasan untuk pemburuan ikan paus komersial.

Selain EU, surat itu ditandatangani oleh Argentina, Australia, Brazil, Chile, Costa Rica, Republik Dominika, Ecuador, Mexico, New Zealand, Panama, Peru dan Uruguay.

Pernah diarah berhenti kegiatan memburu ikan paus

Pada tahun 2014, Mahkamah Keadilan Antarabangsa PBB mengarahkan Tokyo untuk menamatkan pemburuannya di perairan Antartika secara kekal, dan mengatakan projek itu tidak memenuhi standard saintifik.

Jepun membatalkan pemburuan pada tempoh 2014 hingga 2015, tetapi telah menyambung semula pada tahun berikutnya di bawah program baharu dan mengatakan pelan baharu itu benar-benar mempunyai nilai saintifik.

Show More

Related Articles

Back to top button