AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Hubungan Jerman Dan Turki Semakin Pulih

Pada hari Rabu, Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel menyatakan bahawa Berlin berhasrat untuk mengadakan rundingan yang lebih baik bersama Turki, dan ini merupakan petanda hubungan kedua-dua negara semakin pulih susulan pelbagai konflik dan kontroversi yang telah berlaku.

Hubungan di antara kedua-dua negara mula menjadi tegang apabila ahli-ahli politik Turki mengkritik rakan sejawatan mereka dari Jerman kerana tidak mengambil tindakan yang tegas terhadap kumpulan-kumpulan haram dan organisasi pengganas yang menggunakan Jerman sebagai platform untuk menjana dana, merekrut anggota baru, dan menyebarkan propaganda mereka.

Ahli-ahli politik Jerman pula turut memberi ‘serangan balas’ dalam perang mulut tersebut, dan keadaan menjadi semakin hangat sebelum pilihan raya mereka berlangsung pada bulan September lepas, apabila ramai rakyat Jerman termasuk wartawan, penterjemah, dan aktivis hak asasi manusia, disyaki membantu dan bersubahat dengan pengganas.

“Semestinya, kami (Jerman) mempunyai niat untuk mengadakan semula rundingan lebih baik bersama Turki. Ini adalah demi kebaikan Turki, Jerman dan Eropah,” kata beliau.

Memetik laporan agensi berita Turki, Anadolu Agency, pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua negara mengadakan pertemuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan keselamatan dan anti-keganasan, khususnya isu yang melibatkan kumpulan pengganas PKK dan FETO.

Dalam pada itu, kerajaan Turki turut membebaskan sesetengah rakyat Jerman yang ditahan atas kesalahan berkaitan keganasan.

Salah seorang individu yang dibebaskan bernama Mesale Tolu, di mana dia ditahan kerana didakwa menyebarkan propaganda pengganas.

Difahamkan, Tolu bekerja sebagai penterjemah di sebuah agensi berita yang berpangkalan di Istanbul, dan pihak berkuasa Turki sudah lama ‘memerhatinya’ dan mengesyaki bahawa ia mempunyai hubungan dengan sebuah organisasi berhaluan kiri yang diharamkan di negara tersebut.

Lima orang suspek lain juga dibebaskan di bawah kawalan kehakiman dan mereka tidak dibenarkan untuk pergi ke luar negara.

“Sekiranya kita benar-benar berusaha untuk menjalin hubungan yang baik bersama Turki, kedua-dua negara perlu menghormati dan mendekati antara satu sama lain pada tahap yang sama,” ujar Gabriel.

Memandangkan Turki juga adalah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Gabriel menegaskan bahawa Jerman mempunyai tanggungjawab terhadap “rakan-rakannya” di dalam industri pertahanan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker