Isu SemasaTempatan

Wajarkah Sekolah Aliran Inggeris Diperkenalkan Semula?

Tahun lepas, sebuah kajian yang dilakukan oleh Iseas-Yusof Ishak Institute di Singapura mendapati bahawa 82% warga Johor dari pelbagai latar belakang mahu sekolah aliran Inggeris diperkenalkan semula.

Bukan itu sahaja, malah berdasarkan kajian itu, kebanyakan penduduk Melayu di kawasan luar bandar yang sebelum ini membantah cadangan berkenaan juga sudah mula memberi sokongan mereka.

Memetik laporan The Star, ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia berbilang kaum menyedari kepentingan Bahasa Inggeris dalam usaha meningkatkan daya saing kita di peringkat global.

Sebelum tahun 1970-an, negara kita mempunyai banyak sekolah-sekolah Inggeris yang luar biasa, dan rakyat Malaysia merupakan golongan terbaik yang boleh bertutur dalam bahasa tersebut di rantau ini pada ketika itu.

Memandangkan kurikulum Bahasa Inggeris masih tidak mencukupi di sekolah-sekolah kebangsaan, ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa, termasuk mereka yang berpendapatan sederhana.

Dalam pada itu, tidak dinafikan juga bahawa kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program untuk meningkatkan kecekapan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Ini membuktikan bahawa kerajaan sudah mempunyai inisiatif untuk meningkatkan taraf Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia dan oleh itu, ia adalah penyelesaian yang baik sekiranya sekolah ini diwujudkan semula.

Untuk merealisasikan cadangan ini, Akta Pendidikan perlu dipinda bagi menjadikan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran alternatif di sekolah-sekolah kerajaan.

Kurikulum dan format peperiksaan sedia ada juga perlu disemak semula, selain daripada menentukan tahap Bahasa Inggeris yang akan digunakan sebagai medium pengajaran.

Baru-baru ini, bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Kalsom Khalid turut berpandangan bahawa memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeras di Malaysia adalah satu cadangan yang baik dan wajar dipertimbangkan.

Beliau berkata, langkah berkenaan sejajar dengan era globalisasi masa kini yang serba mencabar dan tiada sempadan.

“Kita hendak mewujudkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global. Tapi tanpa kebolehan dan kompetensi dalam berbahasa Inggeris, rasanya agak sukar untuk mereka pergi lebih jauh.

“Kita perlu beri pilihan pada mereka. Ini satu cara untuk kita beri peluang pada pelajar sama ada hendak pergi kepada sekolah yang menggunakan bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sebagai medium,” katanya dalam temubual bersama Sinar Harian.

Ujarnya lagi, sekolah dua aliran (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) bukanlah sesuatu yang baru kerana ia pernah dilaksanakan pada suatu ketika dahulu.

Ibu bapa juga mempunyai pilihan untuk menghantar anak-anak ke mana-mana aliran yang bersesuaian dengan mereka.

Walau bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa pengusaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di sekolah kebangsaan pada masa kini tetap perlu diperkasakan lagi.

“Saya amat berharap pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan pada hari ini dipertingkatkan dan diperkukuhkan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button