AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Hantar Tentera Tangani Krisis Kesihatan Di Papua

Kerajaan Indonesia telah menghantar anggota-anggota paramedik tentera untuk membawa makanan dan vaksin ke bahagian terpencil di daerah Asmat, yang terletak di wilayah paling timur Papua.

Memetik laporan Reuters, sekurang-kurangnya 61 bayi telah meninggal dunia akibat malnutrisi (kekurangan zat) dan mengidap penyakit seperti demam campak.

Papua merupakan salah satu wilayah termiskin di Indonesia walaupun ia kaya dengan sumber dan Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah berikrar untuk mempercepatkan pembangunan di sana apabila beliau dilantik menjadi pemimpin pada tahun 2014.

“Situasi di daerah terpencil Asmat merupakan insiden yang luar biasa,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.

Difahamkan, tentera Indonesia telah menghantar 53 anggota termasuk paramedik, serta barang-barang keperluan lain seperti vaksin dan 11,100 bungkusan makanan segera.

Menteri Kesihatan, Nila Moeloek menyatakan bahawa pihaknya sedang mengawal keadaan di daerah tersebut.

“Terdapat hubungan di antara kekurangan zat dan penyakit-penyakit lain. Sekiranya anda kekurangan zat, anda akan mengidap penyakit-penyakit tersebut,” kata beliau.

Dalam pada itu, ramai penduduk Papua yang juga merupakan golongan minoriti beragama Kristian di Indonesia, telah mengkritik kerajaan di Jakarta kerana mengabaikan mereka dan terlalu memberi fokus terhadap pulau Jawa yang mempunyai penduduk yang padat.

Wilayah tersebut juga mempunyai pergerakan pemisah yang ganas sejak ia dimasukkan ke dalam Indonesia menerusi sebuah referendum berkontroversi yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1969.

Sementara itu, seorang aktivis hak asasi manusia, John Jonga, telah mempersoalkan dasar/polisi presiden Jokowi yang menghantar lebih banyak bantuan ke Palestin dan Rohingya di Myanmar berbanding wilayah Papua yang berada di dalam negara itu.

“Kami kekurangan kemudahan kesihatan. Sebab itu di dalam seminar saya bertanya mengapa presiden terlalu sibuk dengan Myanmar dan membina sebuah hospital di Gaza, sedangkan di Papua, kami mempunyai masalah dan kesulitan dengan ubat-ubatan dan pekerja perubatan,” katanya di sebuah seminar di Institut Sains Indonesia, Jakarta.

Menurut Puan Maharani, Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia, Asmat merupakan sebuah lokasi yang amat sukar untuk dipantau, namun pihaknya telah meminta kementerian kesihatan untuk melakukan penilaian ke atas krisis kesihatan ini.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button