Gaya HidupKesihatan

47.7% Orang Berusia 18 Tahun Ke Atas Di Malaysia Mengalami Ini

Pakar perubatan menggelarkan keadaan di mana kolestrol di dalam darah pada tahap yang tinggi sebagai hiperlipidemia.

Kolestrol adalah sejenis lemak atau lipid. Bahan berminyak serta putih ini walaupun sering diwarwarkan sebagai tidak baik untuk kesihatan, ia merupakan unsur yang penting untuk kesihatan kita.

Terang laman sesawang, University of California, ia merupakan bahan asas bagi pelbagai sebatian penting seperti vitamin D, pelbagai hormon seks serta merupakan  komponen bagi membran luar pada semua sel yang terdapat pada tubuh.

Namun begitu, mempunyai tahap lipid yang terlalu tinggi boleh meningkatkan risiko kejadian serangan jantung dan strok.

KOLESTEROL TINGGI DI MALAYSIA

Menurut laman sesawang Star2 kolesterol tinggi di dalam darah boleh memberi kesan kepada ramai individu

Berdasarkan Bancian Kesihatan dan Morbiditi tahun 2015,  dianggarkan 47.7% orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai hiperkolesterolaemia, atau kandungan kolesterol tinggi dalam darah.

PUNCA TERJADINYA HIPERLIPIDEMIA

Antara punca berlakunya hiperlipidemia adalah

  • Faktor genetik: kejadian ini dikenali sebagai hiperlipidemia primer.
  • Gaya pemakanan yang tidak baik dan faktor lain: dikenali sebagai hiperlipidemia sekunder.

Kolesterol yang berlebihan dalam darah akan terperangkap di dalam saluran arteri.

Selari dengan peredaran masa, pembentukan kolesterol berlebihan (yang juga dikenali sebagai plak) boleh menyempitkan saluran darah seterusnya menjadikannya kurang fleksibel.

Saluran darah yang sempit atau tersekat mungkin boleh menyebabkan oksigen dan nutrien tidak dapat dibawa ke otot jantung, seterusnya menyebabkan penyakit seperti sakit dada, serangan jantung, atau strok.

Penyebab lain termasuklah:

  • Pengambilan alkohol secara berlebihan
  • Obesiti
  • Penggunaan ubat-ubatan seperti hormon atau steroid
  • Kencing manis
  • Penyakit buah pinggang
  • Kelenjar tiroid yang tidak aktif, atau hypothyroidism
  • Kehamilan

Hiperlipidemia yang diwarisi adalah disebabkan gangguan genetik.

Gen yang termutasi (berlaku perubahan) diwariskan daripada ibu bapa dan menyebabkan reseptor LDL (low density lipoprotein-sejenis kolestrol tidak baik)  hilang atau tidak berfungsi.

LDL yang terkumpul dengan banyak di dalam darah boleh membahayakan individu.

Sesetengah kumpulan etnik, seperti orang Perancis di Kanada, orang Kristian di Lubnan dan etnik Afrika Selatan, mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap hiperlipidmia yang boleh diwarisi.

TANDA-TANDA KANDUNGAN KOLESTROL TINGGI

Hiperlipidemia selalunya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal penyakit ini.

Namun begitu, mereka yang mempunyai kandungan kolestrol yang tinggi dalam tubuh sering mempunyai nodul lemak yang kekuningan di kulit di bawah mata, siku dan lutut serta di tendon;

Kadang-kala terjadinya pembesaran limpa dan hati atau pembentukan cincin putih di sekitar iris mata, terang laman sesawang University of California

MERAWAT KOLESTROL TINGGI

Ubat-ubatan yang biasa digunakan untuk merawat keadaan kolestrol tinggi adalah statin, seperti simvastatin, lovastatin, atorvastatin, dan rosuvastatin.

Terdapat juga ubat-ubatan baru yang dipanggil PCSK9 inhibitors yang masih dalam kajian untuk mereka yang menghidap penyakit kardiovaskular serta memerlukan kandungan LDL mereka diturunkan dengan lebih banyak.

Kadang-kala, pengambilan statin menyebabkan  kesan sampingan seperti sakit otot, hal ini membuatkan ramai memilih untuk berhenti mengambilnya.

MENCEGAH KEADAAN KOLESTROL TINGGI

Hyperlipidemia adalah masalah kesihatan biasa yang boleh menyebabkan masalah kardiovaskular atau penyakit jantung yang serius, tetapi ia boleh dicegah dan dirawat melalui penggunaan ubat yang sesuai serta amalan gaya hidup sihat.

Perubahan daripada diet tidak sihat kepada diet yang sihat dapat mengurangkan kepekatan kolesterol.

Walau bagaimanapun, perubahan diet sahaja jarang dapat menurunkan tahap kolesterol seseorang  serta mengubah risiko penyakit kardiovaskular seseorang daripada berisiko tinggi kepada  berisiko rendah.

Namun begitu, pengambilan kolesterol tambahan menerusi pemakanan dapat dikurangkan dengan menjaga diet.

Diet yang sihat juga mempunyai manfaat yang lain,  selain mengurangkan tahap kolesterol.

Secara ringkasnya, diet yang sihat terdiri daripada:

  • Lima bahagian atau lebih baik 7-9 bahagian, sajian buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
  • Satu pertiga daripada sajian harian mestilah berasaskan kanji (seperti bijirin, bijirin penuh, kentang, nasi, pasta), serta buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Tidak mengambil banyak makanan berlemak seperti daging yang berlemak, keju, susu penuh krim, makanan goreng, mentega, dan lain lain. Gunakan sapuan rendah lemak, mono-tak tepu atau polyunsaturated.
  • Memasukkan 2-3 sajian ikan setiap minggu, sekurang-kurangnya satu daripadanya harus berminyak (namun jika anda hamil, anda tidak boleh mempunyai lebih daripada dua sajian ikan berminyak seminggu).
  • Mengehadkan garam tidak lebih daripada 6 g sehari (dan kurang lagi untuk kanak-kanak).
  • Sekiranya anda makan daging merah, lebih baik makan daging merah tanpa lemak atau ayam
  • Jika menggoreng, pilih minyak sayur-sayuran seperti bunga matahari, ‘rapeseed’ atau zaitun.

Makanan yang mengandungi sterol atau stanol tumbuhan boleh mengurangkan kadar kolesterol darah dan kolesterol LDL sebanyak kira-kira 10%.

Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang jelas bahawa pengambilan bahan ini mempunyai kesan dalam mencegah penyakit kardiovaskular.

Oleh itu, The National Institute for Health and Care Excellence (NICE) tidak mengesyorkan bahawa produk ini sepatutnya diambil secara rutin sehingga lebih banyak maklumat tentangnya diketahui.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker