AntarabangsaIsu Semasa

Terima Hakikat Korea Utara Sebagai Kuasa Nuklear Baru

Korea Utara telah ‘bekerja keras’ untuk menjadi kuasa nuklear yang ke-9 di belakang Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis, China, Rusia, India, Pakistan dan Israel.

Pada bulan November 2017, New York Times telah menerbitkan sebuah artikel berjudul “The North is a Nuclear Power Now. Get Used to it.”

Walau bagaimanapun, lima kuasa nuklear utama iaitu AS, UK, Perancis, China dan Rusia yang juga merupakan anggota kekal dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) enggan ‘merestui’ program nuklear Pyongyang.

Malah, AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump merupakan pihak yang paling konsisten terlibat dalam ‘perang mulut’ dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Sementara itu, rejim tersebut menegaskan bahawa peristiwa-peristiwa seperti penaklukan Iraq dan Afghanistan yang dilancarkan oleh AS, serta penggulingan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, boleh berlaku kerana satu sebab sahaja; negara-negara berkenaan tidak mempunyai senjata nuklear atau pun telah berhenti membangunkannya.

“Sebab itu kami tidak akan menghentikan (program nuklear) kami,” kata seorang diplomat Korea Utara.

Namun menurut Dr M.V. Ramana, penulis buku “The Power of Promise: Examining Nuclear Energy di India”, masih ada harapan untuk mencapai perdamaian susulan rundingan Korea Selatan dan Korea Utara yang diadakan baru-baru ini.

“Saya rasa keadaan boleh menjadi lebih tenang, walaupun keadaan yang tenang ini bermakna Korea Utara masih meneruskan program senjata nuklear mereka.

“Saya berpandangan bahawa buat sementara waktu ini, dunia terpaksa menerima hakikat akan kewujudan senjata nuklear Korea Utara,” kata beliau.

Ujar Ramana, walaupun perkara ini bukan sesuatu yang diingini, tiada sebab untuk sesuatu pihak menganggap bahawa kewujudan nuklear di Pyongyang ‘mendatangkan lebih masalah’ berbanding kuasa-kuasa nuklear yang lain.

Tegasnya lagi, sebarang proses perdamaian perlu dilakukan secara dua hala di mana dalam konteks ini, kita tidak boleh mengharapkan Pyongyang untuk menghentikan program nuklear mereka tanpa AS juga berbuat demikian.

Dalam pada itu, Saintis Persekutuan Amerika (FAS) berkata, jumlah senjata nuklear di dunia telah berkurangan dengan ketara sejak berakhirnya Perang Dingin daripada anggaran 70,300 pada tahun 1986, kepada kira-kira 14,550 sahaja.

Sebuah sumber perisikan AS pula menyatakan bahawa Korea Utara mempunyai kira-kira 20 hingga 50 senjata nuklear, manakala Agensi Perisikan Pertahanan AS pula menganggarkan negara itu mempunyai lebih daripada 50.

Difahamkan, Pyongyang membangunkan program senjata nuklear atas dua sebab utama, iaitu demi memastikan dan mengekalkan kelangsungan hidup Dinasti Kim dan juga Korea Utara.

Show More

Related Articles

Back to top button