AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Duterte “Restu” Manny Pacquiao Menjadi Presiden

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memutuskan untuk tidak kekal berkuasa melebihi tahun 2022 dan enggan membatalkan pilihan raya pertengahan penggal pada tahun depan.

Memetik laporan Bloomberg, Duterte menyatakan bahawa beliau mahu sebuah kerajaan persekutuan dengan struktur kepimpinan yang serupa dengan kerajaan Perancis, yang mempunyai Presiden dan Perdana Menteri.

Beliau juga mahu Dewan Senat dan Dewan Perwakilan Rakyat di negara itu digabungkan menjadi satu dewan yang mempunyai 50 ahli parlimen untuk membuat dan meluluskan undang-undang dengan lebih cepat.

“Sekiranya Filipina berhasrat untuk mengubah sistem kerajaan, kita mahu satu sistem yang akan memastikan keadilan dan kesamarataan,” katanya.

Tegas Duterte, beliau akan menubuhkan sebuah badan konsultatif untuk melakukan semakan ke atas perlembagaan Filipina.

Tetapi persoalannya, siapakah yang ‘layak’ menggantikan tempatnya sebagai Presiden apabila beliau bersara nanti?

Bulan November tahun lepas, bintang tinju Filipina, Manny Pacquiao yang juga memegang jawatan senator, mempertimbang untuk meletak jawatan kerana amat kecewa dengan keadaan politik di negara itu.

“Saya rasa kecewa dan kecil hati. Saya ingin melepaskan (jawatan senator) kerana saya tidak biasa berpolitik.

“Saya mendapati bahawa di dalam politik, anda tidak akan tahu apa yang benar atau tidak. Orang (ahli politik) mempunyai banyak muka,” katanya.

Walau bagaimanapun, Duterte mahu Pacquiao mengambil alih kedudukannya pada masa akan datang kerana beliau benar-benar layak untuk menjadi presiden.

“Saya memberitahunya (Pacquiao) ketika kami bersendirian, saya mahu anda menjadi presiden….Anda telah membawa kebanggaan dan kegembiraan kepada negara kita kerana menjadi juara dunia dalam bidang tinju,” kata Duterte ketika berucap di majlis hari jadi ke-39 Pacquiao pada 17 Disember 2017.

Difahamkan, Pacquiao yang juga dikenali dengan gelaran “Pacman” merupakan anggota Senat di dalam parti kerajaan pimpinan Duterte, PDP-Laban.

Ahli tinju itu mengakui bahawa beliau pernah mengambil dadah ketika zaman remajanya, namun tetap menyokong kempen perang dadah brutal yang dilancarkan oleh presiden itu.

Teringat kembali tentang kehidupan sukar yang dilaluinya pada waktu kecil, Pacquiao menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menjangka akan menjadi seorang insan yang berjaya.

“Saya ingin menjadi inspirasi untuk semua orang, terutamanya golongan miskin. Jangan putus asa, kerana Tuhan sudah mempunyai rancangan untuk anda,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker