Teknologi

Data Aplikasi Kesihatan Bukti Kes Bunuh?

Disebabkan aplikasi kesihatan milik Apple merekodkan secara tepat bilangan langkah seseorang, ia telah dijadikan bukti penting bagi sebuah kes rogol dan bunuh di Jerman.

Aplikasi ini dipasang secara automatik pada telefon iPhone6S serta model-model telefon bimbit yang lebih baru.

Menurut pihak polis, data pada aplikasi tersebut yang menunjukkan suspek telah melakukan aktiviti seperti mendaki tangga telah menghubungkannya dengan perbuatan menyeret tubuh mangsa turun  ke tebing sungai serta naik semula ke daratan

Tertuduh,  Hussein K telah mengakui kesalahannya, namun telah menafikan beberapa butiran.

PERIHAL KES

Maria Ladenburger, seorang pelajar perubatan berusia 19 tahun telah dibunuh pada bulan Oktober 2016.

Perbicaraan tentang kes tersebut dijalankan pada September tahun 2017 di mahkamah daerah di Freiburg.

Ladenburger telah dirogol sebelum dilemaskan di Sungai Dresiam.

Identiti suspek telah dikenal pasti menerusi rambut yang telah ditemui di tempat kejadian.

Disebabkan dia enggan memberikan polis kata laluan bagi telefonnya, pegawai penyiasat menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan sebuah firma forensik di Munich, untuk menggodam masuk ke dalam peranti itu.

BAGAIMANA TEKNOLOGI DIGUNAKAN DALAM KES PEMBUNUHAN

Aplikasi data kesihatan pada iPhone, jelas laman sesawang BBC, merekodkan aktiviti-aktivti fizikal seperti, bilangan langkah, corak pemakanan dan tidur serta pelbagai ukuran tubuh seperti kadar denyutan jantung.

Selain merekodkan lokasi dan pergerakan suspek, telefon tersebut juga telah merekodkan aktiviti yang lebih berat yang telah dilakukan suspek.

Terdapat dua puncak pada graf yang terpapar dalam aplikasi tersebut yang menunjukkan individu tersebut sedang menjalankan aktiviti berat seakan-seakan seperti sedang  “mendaki tangga”.

Untuk melakonkan semula kejadian tersebut, pihak polis telah menghantar seorang penyiasat yang memiliki bentuk badan yang serupa dengan suspek.

Penyiasat tersebut telah ke kawasan tempat mayat mangsa telah ditemui serta telah melakonkan semula perbuatan suspek melupuskan mayat mangsa.

Data pergerakan penyiasat tersebut juga telah direkodkan pada aplikasi yang sama sebagai “mendaki tangga”.

Hal ini jelas menunjukkan data kesihatan yang direkod aplikasi tersebut menunjukkan aktiviti suspek secara tepat ketika melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

“Untuk pertama kalinya, kami telah mengaitkan kesihatan dengan geo-data,” kata  Peter Egetemaier, ketua polis kepada mahkamah, menurut akhbar Jerman Die Welt.

Perkara  yang merumitkan perbicaraan adalah percubaan untuk mengenalpasti umur sebenar Hussein.

Suspek pada mulanya mendakwa bahawa dia berusia 17 tahun, namun begitu  bapanya, yang berada di Iran, telah menafikannya.

Usia memainkan peranan penting dalam menjatuhkan hukuman di Jerman.

Hukuman maksimum bagi seseorang yang berusia di bawah 18 tahun adalah hukuman penjara selama 10 tahun, sedangkan hukuman penjara bagi orang dewasa untuk perbuatan jenayah yang sama boleh mencecah sehingga 30 tahun.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close