Isu SemasaTempatan

Semakin Ramai Beli Dan Jual Kediaman Untuk Keuntungan

Pada suatu ketika dahulu, “house flipping” merupakan satu kegiatan yang terhad kepada individu-individu yang berada sahaja.

Istilah tersebut merujuk kepada kegiatan membeli rumah, mengubah suai dan kemudian menjualnya untuk meraih keuntungan.

Dalam erti kata lain, ia merupakan pelaburan hartanah, dan pada masa kini, ia juga sudah mula menjadi trend dalam kalangan setiap lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Sebagai contoh pada bulan November lepas, seorang wanita berusia 31 tahun mendedahkan di media sosial bahawa dia berjaya memiliki enam buah rumah dalam tempoh 7 tahun walaupun hanya meraih pendapatan bulanan sebanyak RM 2,500.

Difahamkan, ibu kepada 3 orang anak itu turut ‘bercakap besar’ mengenai pembelian rumah pertamanya yang merupakan sebuah flat di Shah Alam bernilai RM 98,000 pada tahun 2010, dan pada waktu itu gajinya hanya RM 1,500 sebulan.

Wanita itu pada asalnya menyewakan rumah tersebut, namun kemudian dia menjualnya dengan harga RM 220,000 sekali gus memberinya keuntungan sebanyak RM 122,000.

Memetik laporan The Malay Mail Online, penganalisis berpandangan bahawa penjualan semula hartanah kini boleh diterima oleh orang ramai dan ia juga tidak salah.

 

SPEKULASI MELAMPAU MENYEBABKAN KETIDAKSTABILAN PASARAN

Walau bagaimanapun, kegiatan spekulasi yang melampau boleh menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran hartanah.

Menurut pakar, dasar/polisi yang tidak bagus, kelemahan dalam peraturan, dan pemberian pinjaman yang terlalu mudah telah ‘membantu’ dalam mewujudkan kumpulan spekulator baru dari pelbagai latar belakang (terdapat juga yang tamak) di dalam pasaran hartanah.

Hal ini akan menyebabkan spekulasi serta penawaran dan permintaan yang tidak seimbang.

Dalam pada itu, sesetengah penganalisis pasaran hartanah menyatakan bahawa media juga memainkan ‘peranan’ dalam menyumbang kepada keadaan ini untuk berlaku.

 

“HOUSE FLIPPING” TINGKATKAN HARGA HARTANAH

Di antara tahun 2010 sehingga 2014, kegiatan “house flipping” berada pada tahap kemuncak lalu menyebabkan harga rumah melonjak naik.

Bukan itu sahaja, malah menurut Foo Gee Jen, Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta (PEPS), bilangan ‘guru-guru hartanah’ juga turut meningkat dengan mendadak.

“Sekiranya anda melihat data pada tahun 2011, terdapat ramai orang yang mengaku diri mereka sebagai guru hartanah…. mereka telah menyebarkan pelbagai propaganda dan menubuhkan kelab pelabur hartanah mereka tersendiri.

“Semua orang bercakap tentang formula yang serupa, mengenai bagaimana Trump (jutawan hartanah dan Presiden Amerika Syarikat), meraih keuntungan berjuta-juta daripada hartanah,” kata Foo.

Sementara itu, Veena Loh, Pengarah Bersekutu Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia berkata, ‘kisah-kisah’ seperti itu selalunya diceritakan untuk menyembunyikan kesan negatif “house flipping”, namun ia berjaya mempengaruhi ramai orang untuk menjual rumah mereka demi keuntungan, termasuk golongan yang ingin membeli rumah buat pertami kali

“Segelintir pemasar projek, media, dan sesetengah kisah kejayaan oleh pelabur yang diceritakan oleh pelabur hanya menceritakan aspek yang positif sahaja tanpa berkongsi sudut yang negatif,” katanya.

 

KELAB-KELAB PELABUR HARTANAH ‘MASALAH BESAR’

Foo mempercayai bahawa kelab-kelab pelabur hartanah (PIC) merupakan sebahagian besar daripada masalah yang dihadapi oleh pasaran hartanah tempatan.

Kelab-kelab ini biasanya terdiri daripada orang-orang kaya, namun kajian terbaru mendapati bahawa bilangan golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menyertainya telah meningkat sejak lima tahun lalu.

PIC memesongkan pasaran dengan mewujudkan permintaan palsu apabila ingin membeli banyak hartanah dalam satu masa, selalunya dengan diskaun sehingga 1/4 di bawah harga pasaran.

Selepas itu, mereka akan mengeksploitasi kelonggaran/kelemahan prosedur untuk memiliki rumah tanpa deposit dan kemudian menjualnya pada harga yang amat tinggi kononnya dengan alasan kekurangan bekalan yang direka sendiri oleh mereka menerusi kegiatan bernama “hogging”.

“Hogging” merupakan kegiatan apabila spekulator menyimpan hartanah-hartanah yang dibeli sekali gus untuk memberi gambaran kononnya terdapat kekurangan bekalan rumah sambil mendakwa terdapat permintaan yang tinggi untuk menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

Hal ini akan menyebabkan unit-unit rumah itu dimasukkan ke dalam pasaran untuk meraih keuntungan, selalunya pada kadar 15% hingga 20% lebih tinggi daripada harga pasaran, atau sehingga 40% jika diskaun yang diberi oleh pihak pemaju diambil kira.

 

KUASA MEDIA SOSIAL

Lebih membimbangkan, spekulator-spekulator ini juga mempunyai kebebasan untuk mempromosikan kegiatan mereka menerusi media sosial, lebih-lebih lagi apabila Facebook menawarkan perkhidmatan percuma dan memudahkan mereka untuk berhubung dengan orang ramai.

Menurut Foo, di antara tahun 2010 sehingga 2014, bilangan ejen hartanah baru yang menyertai pasaran meningkat sekurang-kurangnya 15% sehingga 20%, dan majoriti daripada mereka adalah pembeli rumah pertama.

“Segelintir daripada mereka telah menjadi jutawan hanya dengan membeli dan menjual hartanah….saya rasa (media sosial) amat membantu.

“Malangnya, ramai orang mempercayai semua perkara yang mereka dengan di media sosial,” kata beliau.

Nilai urus niaga spekulatif ketika kemuncak era “house flipping” dianggarkan menjadi setengah daripada transaksi keseluruhan hartanah.

Pada separuh pertama tahun 2016, jumlah keseluruhan unit-unit rumah yang tidak terjual bernilai RM 8 bilion.

Namun ujar Foo, jumlah itu meningkat kepada lebih daripada RM 20 bilion pada tempoh yang sama pada tahun ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker