Isu SemasaPolitikTempatan

Sudah Tiba Masa Untuk “Membuka Buku Baru”

2018 merupakan tahun yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia memandangkan penggal pemerintahan kerajaan akan selewat-lewatnya pada bulan Ogos ini sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun, terdapat juga spekulasi bahawa PRU14 mungkin akan diadakan lebih awal iaitu selepas Tahun Baru Cina, namun masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berwajib.

Pada PRU13 yang lepas, ramai pihak yang menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada pembangkang lalu mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan dari pimpinan Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun, BN berjaya mengekalkan kedudukan mereka walaupun tidak memenangi 2/3 majoriti dan kehilangan kuasa di negeri-negeri utama seperti Selangor.

Sejak PRU13, pelbagai perubahan yang tidak dijangka telah berlaku. Ramai ahli politik telah bertukar haluan, di mana kawan menjadi lawan, manakala musuh pula menjadi kawan.

Ini membuktikan bahawa di dalam arena politik, tiada kawan atau musuh yang kekal abadi memandangkan keadaan akan berubah mengikut kepentingan semasa.

Memetik laporan The Star pada 28 September 2017, seramai 12 Ahli Parlimen (MP) dan lebih daripada 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah bertukar parti atau menjadi calon bebas.

Pada masa kini, sesetengah belia di Malaysia tidak lagi bersemangat dan enggan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi dalam pilihan raya kerana hilang kepercayaan terhadap kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, menurut kolumnis The Malay Mail Online, Boo Su-Lyn di dalam penulisannya berjudul “Time to let of the old”, BN masih dibahagikan kepada parti berasaskan kaum, skandal rasuah berleluasa dan kebebasan sivil seperti hak kebebasan bersuara tidak dapat diamalkan secara penuh.

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) juga mempunyai masalah yang sama, cuma ia mungkin berada pada tahap yang lebih rendah memandangkan mereka tidak mempunyai kuasa penuh di peringkat persekutuan.

Su-Lyn berkata, mana-mana pihak yang ingin mengganti BN sebagai kerajaan alternatif utama boleh memberitahu pengundi bahawa mereka akan melakukan perkara yang sama seperti BN (tetapi lebih baik), atau mereka akan memperkenalkan dasar/polisi yang baru.

Ujar beliau, walaupun sesetengah orang mungkin takut jika berlakunya ketidakstabilan, ramai orang (terutamanya belia) tidak takut untuk melantik kerajaan persekutuan alternatif buat pertama kali kerana rakyat hanya mahu mencuba perkara baru.

“Perkara-perkara lama menjadi bosan selepas beberapa ketika, tidak kira betapa baiknya perkara itu pada asalnya,” Soo-Lyn.

Tetapi, rakyat hanya boleh mencuba perkara baru sekiranya memang ada sesuatu yang baru untuk dipilih.

Sekiranya semua parti (kerajaan dan pembangkang) menawarkan idea-idea lama yang sama, tidak akan ada motivasi atau semangat untuk memilih mana-mana di antara mereka.

Namun, beliau berharap bahawa pada tahun ini, usaha-usaha sebenar akan diambil untuk menghapuskan rasisme (perkauman), mengembalikan kebebasan hidup tanpa campur tangan kerajaan, dan untuk menjadikan Malaysia sebagai “sinar harapan di dalam dunia yang fana ini.”

“Harapan ini tidak terletak pada sesiapa sahaja yang memenangi PRU14, yang akan datang dan pergi seperti pilihan raya yang lepas.

“Harapan ini terletak pada mereka yang mempercayai bahawa ‘sudah tiba masanya untuk melepaskan perkara lama’ dan mereka yang mempunyai keberanian untuk membentuk sebuah negara hebat yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini,” kata beliau.

Namun begitu, kunci utama untuk melakukan perubahan adalah dengan menunaikan tanggungjawab anda untuk mengundi.

Undilah parti/calon yang telah membuktikan kredibiliti mereka untuk mentadbir negara dan mempunyai rancangan kukuh untuk pembangunan negara, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukan pihak yang menggunakan retorik dan sentimen kosong semata-mata.

Ingatlah bahawa kuasa mengundi terletak dalam tangan rakyat, khususnya belia yang merupakan pelapis negara pada masa akan datang.

Setiap undian akan membawa perubahan besar kepada masa depan negara.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker