AntarabangsaIsu Semasa

Perubahan Undang-Undang Dadah Akan “Menyelamatkan” 5,000 Banduan

Perubahan terhadap undang-undang dadah di Iran berpotensi untuk menyelamatkan nyawa ribuan pesalah yang sedang menanti hukuman mati.

Memetik laporan Independent UK, undang-undang baru itu hanya memperuntukkan hukuman mati ke atas raja-raja dadah, pengedar senjata api dan mereka yang disabitkan bersalah menyeludup lebih daripada 50kg dadah jenis opium atau 2kg heroin.

Menurut akhbar tempatan bernama Shargh, Ketua Badan Kehakiman Iran, Ayatollah Sadegh Amoli, telah mengarah pegawai-pegawai kerajaan untuk menyemak semula kes-kes tersebut dengan segera dan melaksanakan undang-undang baru berkenaan.

Akhbar itu menyatakan bahawa keputusan untuk melaksanakan garis panduan peraturan baru yang telah diluluskan pada bulan Oktober lepas akan memberi kesan terhadap lebih daripada 5,000 orang banduan.

Di bawah undang-undang sebelum ini, hukuman mati akan dijatuhkan ke atas pesalah yang menyeludup 20kg opium atau 30kg heroin.

“Perubahan ini berpotensi untuk menyelamatkan ribuan orang (banduan) daripada dihukum mati tetapi ia masih tidak akan mengubah sistem pengadilan yang berlandaskan penyeksaan sistemik dan menolak perwakilan undang-undang,” kata Maya Foa, pengarah kumpulan hak asasi manusia, Reprieve.

Walaupun undang-undang baru akan dilaksanakan, Foa menyatakan bahawa hukuman mati disebabkan kesalahan dadah akan tetap berterusan, dan jumlahnya mungkin akan meningkat.

“Untuk benar-benar memastikan keadilan, Iran perlu memansuhkan hukuman mati bagi semua kesalahan jenayah berkaitan dadah,” tegas beliau.

Sementara itu, Mahmood Amiry-Moghaddam dari badan bukan kerajaan (NGO) Iran Human Rights berkata, perubahan undang-undang ini akan menjadi salah satu langkah yang paling penting dalam usaha mengurangkan penggunaan hukuman mati di seluruh dunia.

Namun, beliau memberi amaran bahawa disebabkan mereka yang sedang menanti hukuman mati akibat kesalahan jenayah dadah “dipinggirkan” dalam masyarakat, mereka mungkin tidak mempunyai cara atau pengetahuan untuk memanfaatkan undang-undang baru tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.