AntarabangsaIsu Semasa

Thailand Jadi Negara ‘Transit’ Sindiket Curi Kenderaan

Sindiket-sindiket curi kereta dari Malaysia telah menggunakan Thailand sebagai kawasan ‘transit’ untuk menyeludup kenderaan-kenderaan yang dicuri ke negara-negara jiran yang lain seperti Laos, Kemboja dan Vietnam.

Memetik laporan Straits Times, lebih daripada 100 kenderaan Malaysia telah dirampas semula di Thailand oleh pihak polis tempatan sejak tahun 2015.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Malaysia, Wan Ahmad Najmuddin berkata, kenderaan yang dicuri itu telah pun diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Thailand adalah negara transit untuk sindiket curi kereta Malaysia,” katanya selepas menerima semula 20 kenderaan yang dicuri (kebanyakannya adalah kereta mewah) daripada Penasihat Polis Diraja Thailand (RTP), Jen Witaya Prayongpan dalam satu majlis rasmi pada hari Selasa (9 Januari).

Menurut Wan Ahmad, pasukan polis Malaysia dan Thailand akan meningkatkan kerjasama untuk membanteras sindiket-sindiket seumpamanya yang sedang ‘beroperasi’ di kedua-dua negara.

Dalam perkembangan terkini, usaha sedang dilaksanakan untuk mengesan ketua sindiket tersebut yang merupakan warga Malaysia.

RTP, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas penyerahan semula kenderaan kepada pihak berkuasa Malaysia berkata, kes kecurian kereta merupakan isu yang telah lama berlanjutan dan ia turut memberi impak negatif terhadap ekonomi kedua-dua negara.

“Perdana Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha dan timbalannya Jen Prawit Wongsuwan kerap menegaskan kepentingan untuk menangani isu ini memandangkan ia berpotensi untuk membawa kepada kegiatan-kegiatan jenayah yang lain,” ujar kenyataan itu.

Lebih membimbangkan lagi, isu ini bukan sekadar tentang kecurian kenderaan, tetapi ia juga mungkin dijalankan untuk membiayai kegiatan-kegiatan jenayah lain seperti keganasan.

Tahun lepas, Bahagian Cawangan Khas Anti-Keganasan Bukit Aman meningkatkan usaha untuk memotong sumber-sumber kewangan dan pembiayaan kumpulan pengganas, lebih-lebih lagi sejak militan IS telah hilang kubu kuat dan pengaruhnya di Raqqa, Syria.
Oleh itu, pihak polis telah bekerja rapat dengan bank-bank di Malaysia untuk membanteras isu pembiayaan keganasan dengan lebih berkesan.

 

 

Show More

Artikel Berkaitan.