AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Tanpa BBL, Kumpulan Militan Akan Terus Bangkit

Proses perdamaian di wilayah bergolak Mindanao, Filipina amat sukar untuk dicapai tanpa kewujudan Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL).

Kumpulan pemberontak, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) memberi amaran bahawa usaha untuk mengekang kumpulan-kumpulan ekstremis sedia ada dan yang baru ditubuhkan juga tidak dapat dilakukan dengan lancar.

Memetik laporan News Straits Times, MILF mempunyai pengaruh kuat di sekurang-kurangnya 60% bahagian selatan negara tersebut.

Pengerusi MILF, Murad Ibrahim berkata, usaha untuk menyatukan kumpulan-kumpulan bersenjata di Mindanao demi mencapai perdamaian kini sedang dilaksanakan secara ‘agresif.’

Dalam perkembangan terbaru, beliau menyatakan bahawa MILF telah berjaya meyakinkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), di bawah pimpinan Yusop Jikiri, untuk bersama-sama mempromosikan keamanan dan menentang keganasan di wilayah tersebut.

“Kami berada dalam fasa gabungan. Dengan MNLF di bawah Yusop Jikiri, kami yakin untuk bergerak bersama-sama.

“Kami mempunyai dua daripada tiga puak Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) bersama kami, yang menyokong proses perdamaian,” kata beliau dalam satu temubual di ibu pejabat MILF di Kem Darapanan.

Ujar Murad, bekas-bekas anggotanya yang kini bersama kumpulan Maute juga sedang mencari jalan untuk mencapai persefahaman bersama MILF dalam usaha merealisasikan proses mencapai keamanan.

 

PELBAGAI KUMPULAN PENGGANAS WUJUD TANPA BBL

Murad berkata, cara yang paling berkesan untuk mengekang kebangkitan ekstremisme adalah dengan menubuhkan badan politik yang bersesuaian dan boleh diterima oleh warga Bangsamoro.

Punca kemunculan kumpulan-kumpulan pengganas baru seperti Maute dan lain-lain adalah kerana ketiadaan penyelesaian politik di Mindanao.

“Kami telah melihat kumpulan-kumpulan kecil ini bangkit….daripada puak-puak yang berpecah dari MILF, termasuk Abu Sayyaf sehingga BIFF.

“Apabila BBL tidak diluluskan pada pemerintahan (pemimpin) yang lepas, ia membawa kepada kebangkitan kumpulan Maute di Lanao,” tegas Murad.

 

BBL TIDAK BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN FILIPINA

Terdapat segelintir pihak yang mendakwa bahawa penubuhan BBL bercanggah dengan perlembagaan Filipina.

Murad berkata, pihaknya mengambil masa 18 tahun untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif Bangsamoro (CAB) yang memenuhi aspirasi Bangsamoro untuk mentadbir wilayah itu dengan sendiri, dan ia juga mematuhi perlembagaan Filipina.

Tambah beliau, pelbagai kompromi dan rundingan telah dilakukan untuk memastikan pertubuhan politk yang ingin diwujudkan itu boleh diterima oleh semua pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, Presiden Rodrigo Duterte juga amat komited untuk memastikan supaya BBL diluluskan dan setakat ini, draf BBL telah disemak secara ketat dan teliti, dan tiada sebarang peruntukan yang ‘tidak berperlembagaan’ di dalamnya.

 

MILF KINI MENJADI MUSUH UTAMA PENGGANAS IS DI MINDANAO

Kumpulan militan IS kini melihat MILF sebagai salah satu musuh utama mereka kerana mahu melaksanakan proses perdamaian.

Walau bagaimanapun, Murad menyatakan bahawa ini tidak menjadi isu bagi pihaknya kerana IS bukan Islam yang sebenar atau ‘tidak Islamik’ dan telah dikutuk oleh semua ulama’.

“IS menggelar kami kafir, tetapi perkara itu tidak menjejaskan kredibiliti kami, kerana penduduk di sini tahu kami sedang berusaha untuk mereka, kebajikan mereka dan juga keamanan.

“Mereka (penduduk) juga mempercayai MILF dan kami mengikut ajaran Islam yang sebenar,” kata beliau sambil menambah bahawa majoriti ulama’ turut memberi sokongan kepada mereka.

 

SOKONGAN NEGARA JIRAN AMAT PENTING

MILF sudah mempunyai rancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang untuk membangunkan wilayah Mindanao.

Dari aspek pembangunan ekonomi, kumpulan itu menanti-nantikan negara-negara jiran yang membantu mereka dalam proses perdamaian, untuk turut membantu memajukan program-program pembangunan demi memastikan kemampanan dan keamanan yang berkekalan.

“Keamanan akan berkekalan sekiranya ada ekonomi dan pendapatan yang kukuh untuk rakyat,” kata beliau.

 

MALAYSIA MENJADI ORANG TENGAH DALAM RUNDINGAN 

Peranan fasilitator atau orang tengah dalam pelaksanaan proses perdamaian akan diteruskan sehingga perjanjian akhir ditandatangani secara rasmi.

Keadaan ini akan berlaku apabila kedua-dua pihak bersetuju bahawa segala aspek dalam proses tersebut telah memenuhi kriterianya.

Namun menurut Murad, proses normalisasi jangka panjang juga perlu dilaksanakan, dan ini akan memakan masa yang lama kerana ia melibatkan pembinaan dan penstrukturan semula kawasan-kawasan di wilayah itu.

Oleh itu, MILF perlu terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa, termasuk Malaysia, dan kumpulan itu juga berharap supaya Malaysia dapat terus terlibat dalam menjayakan proses normalisasi berkenaan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close