Isu SemasaTempatan

Adakah Perasaan Kita Terlanggar Haiwan Sama Dengan Terlanggar Manusia?

Apabila kita dengar berita tentang haiwan mati dilanggar oleh kenderaan, ramai yang tidak mempedulikan berita tersebut. Haiwan ciptaan Tuhan ini dianggap enteng tanpa melihat apa yang bakal terjadi jika mereka sudah tidak wujud di dunia ini.

Dalam pada yang sama, jika ada yang membaca tentangnya pula pasti tudingan jari akan diberikan kepada pihak berwajib sepenuhnya sedangkan tanda amaran sudah diletakkan sepanjang kawasan laluan haiwan-haiwan ini. 

Memetik daripada penulis Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid di akhbar NST, sebanyak 2,100 haiwan telah terbunuh di jalanraya Malaysia selama lima tahun kebelakangan ini dan kebanyakannya adalah haiwan dari spesies terancam seperti tapir, beruang matahari, gajah, kambing gurun dan harimau.

Menurut beliau ia adalah berdasarkan makluman dari Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Hamim Samuri yang juga mengatakan bahawa kemalangan ini selalunya terjadi semasa haiwan-haiwan ini mahu menyeberang jalan untuk mencari perlindungan, makanan, habitat dan pasangan.

Trajedi kemalangan jalanraya melibatkan haiwan ini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi ia juga berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat.

Di Amerika, statistik pelanggaran haiwan oleh pengguna jalanraya mencecah sehingga dua juta haiwan setahun bersamaan kematian pada setiap 26 saat. Angka ini didapati dari syarikat insurans berdasarkan jumlah orang yang menuntut kemalangan melibatkan haiwan besar dan kenderaan yang remuk teruk. Jumlah tersebut tidak melibatkan haiwan yang mati digilis ataupun mati terlanggar cermin kenderaan.

Di Eropah pula, dianggarkan sebanyak 27 juta burung mati akibat dilanggar kenderaan setiap tahun. Manakala sebuah kajian di Brazil telah menganggarkan sejumlah 1.3 juta haiwan mati setiap hari di bawah kereta dan lori.

Memang benar habitat dan populasi haiwan-haiwan ini telah terganggu akibat pembinaan jalanraya dan pembangunan yang dilakukan oleh manusia sendiri.

Oleh yang demikian, pelan komprehensif untuk membendung kemalangan melibatkan haiwan ini perlu dijalankan segera.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Henry Goh telah menyuarakan keperluan untuk agensi kerajaan dan jabatan negeri seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, pihak polis dan Jabatan Peguam Negara perlu bersatu untuk memberi penyelesaian terhadap isu ini.

Beberapa langkah untuk mengurangkan kemalangan ini telah berjaya dilakukan di luar negara. Contohnya di Kanada, sebanyak 28-89 peratus kemalangan melibatkan haiwan berjaya dikurangkan dengan penyediaan terowong dan pagar.

Lebuhraya di Singapura juga telah membina sebuah jambatan khas untuk laluan haiwan-haiwan ini menyeberang dengan lebih selamat. 

Selain daripada itu, usaha mengadakan lampu amaran berkuasa sepanjang laluan jalanraya untuk bantu pemandu memandu melihat haiwan dengan lebih jelas juga perlu diwujudkan.

Di Malaysia pula, sememangnya pihak berkuasa negara tahu tentang permasalahan ini dan Menteri di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah pun mengarahkan pihak Perhilitan dan Jabatan Perhutanan untuk meningkatkan lagi pemantauan dan mencegah dari berlakunya kemalangan di kawasan banyak berlakunya kemalangan haiwan ini.

Pihak kementerian turut mengadakan rancangan untuk membina jambatan di 37 kawasan panas bagi memudahkan pergerakan haiwan.

Ini adalah permulaan yang menggalakkan. Walau bagaimanapun, usaha dari pihak berkuasa atau persatuan pencinta alam ini sememangnya tidak boleh sebelah pihak sahaja.

Di dalam penulisan Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, beliau mencadangkan tiga perkara yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam menangani masalah ini.

Pertamanya, pengguna jalanraya perlulah bersama-sama menjadi warga yang bertanggungjawab dan menerima bahawa haiwan juga mempunyai tempatnya di muka bumi ini.

Kedua, penggunaan perkataan ‘binatang liar’ ataupun lebih teruk lagi ‘binatang buas’ harus diganti dengan perkataan yang lebih mudah/mesra seperti ‘haiwan’ atau ‘fauna’ untuk membuang stigma masyarakat bahawa haiwan-haiwan ini mengancam dan sangat berbahaya.

Akhir sekali dan yang paling penting ialah cara kita berfikir tentang haiwan yang berada di jalanraya ini perlu diletakkan dengan situasi sama apabila terdapat seorang kanak-kanak yang ingin menyeberang jalan bersendirian. Kemungkinan besar barulah kesedaran masyarakat boleh dipertingkatkan dan kemalangan melibatkan haiwan dikurangkan atau dihalang sama sekali.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker