Isu SemasaKesihatanTempatan

Semakin Ramai Rakyat Malaysia Mengamalkan Yoga

Berumur 81 tahun, Dr M. Raajamanikam mengamalkan Hatha yoga selama 30 minit setiap hari dan selepas itu, beliau menjalankan kelas yoga untuk pelajarnya.

Beliau juga telah dianugerahkan gelaran Mahaguru disebabkan sumbangannya selama 50 tahun dalam bidang yoga di Malaysia.

Sesungguhnya, bekas guru sekolah Tamil ini telah membuktikan kelebihan senaman yoga.

Yoga adalah amalan India kuno yang merangkumi latihan fizikal dan pernafasan, serta teknik meditasi dan istirehat untuk membolehkan pengamal mencapai kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Hatha yoga merupakan jenis yoga yang paling biasa diamalkan di seluruh dunia dan ia merujuk kepada satu set latihan fizikal, yang dikenali sebagai asana atau postur, yang direka untuk membuka banyak saluran badan – terutamanya saluran utama, tulang belakang – supaya tenaga boleh mengalir dengan bebas.

Kesedaran meningkat

Menurut Raajamanikam, presiden Persatuan Yoga Nasional Pranava Malaysia, rakyat Malaysia kini lebih terbuka kepada yoga sebagai cara untuk meningkatkan kecergasan dan kesihatan mereka dan merawat penyakit kronik.

Malah, kesedaran awam tentang manfaat yoga semakin meningkat sejak 21 Jun diisytiharkan Hari Yoga Antarabangsa oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Negara konservatif Arab Saudi juga telah meluluskan yoga sebagai aktiviti sukan pada 14 November lepas. Rakyat kerajaan Islam itu kini dibenarkan untuk mengamalkan atau menyebarkannya dengan mendapatkan lesen daripada kerajaan.

“Selain meningkatkan kesihatan kita, senaman yoga juga membantu untuk menguatkan mental kita supaya kita dapat berfikir dengan lebih jelas dan kreatif serta dapat memberi tumpuan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Yoga boleh membantu sesetengah penyakit

Raajamanikam juga mengatakan amalan yoga yang kerap dapat membantu mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD). Mereka yang mengalami penyakit seperti asma, masalah sinus, sembelit, sakit perut dan juga diabetes mendapati keadaan mereka bertambah baik setelah mengamalkan yoga secara konsisten .

Memetik statistik terkini oleh Kementerian Kesihatan, 73 peratus kematian di negara ini disebabkan oleh NCD, beliau berkata angka itu berada pada tahap yang membimbangkan.

“Bagaimanapun, terapi yoga adalah alternatif yang baik untuk rawatan konvensional untuk menangani NCD seperti hipertensi dan diabetes, asalkan asanas (postur) dilakukan dengan teknik yang betul.

“Apabila lebih ramai melakukan yoga untuk memperbaiki kesihatan mereka, beban hospital kerajaan lebih rendah,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau mahu melihat lebih ramai belia mengamalkan yoga dan cemerlang di dalam bidang ini supaya mereka dapat mengajar sambil meraih pendapatan tambahan.

Malaysia memerlukan pengajar yoga yang lebih kompeten, katanya, sambil memberitahu terdapat sesetengah pengajar yang kurang kelayakan mengajar teknik yang salah, menyebabkan pelajar mereka tercedera.

Teknik-teknik baharu tidak disahkan oleh pakar yang mengamalkan dan menyebarkan yoga tradisional. Oleh itu, mereka yang ingin mengambil yoga dinasihatkan untuk mendaftarkan diri mereka di pusat-pusat yang mengamalkan yoga tradisional.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.