FesyenGaya Hidup

‘The Shoe That Grows’ Bantu Kanak-Kanak Miskin

Kadang-kadang, inovasi paling mudah dapat mengubah kehidupan berjuta-juta orang. Itulah matlamat The Shoe That Grows, sandal yang dicipta oleh Kenton Lee yang boleh dilaras saiznya untuk membolehkan kanak-kanak di negara-negara miskin membesar tanpa perlu berkaki ayam.

Menurut Business Insider, terdapat lebih 300 juta kanak-kanak yang tidak mempunyai kasut dan ramai lagi yang memiliki kasut yang tidak boleh dipakai. Kanak-kanak tanpa kasut mudah terdedah kepada kecederaan dan parasit yang menjangkiti manusia melalui kaki. Dianggarkan 1.5 bilion orang di seluruh dunia menderita penyakit bawaan tanah.

Kasut biasa yang disumbangkan pula tidak memiliki daya tahan yang lama selain kanak-kanak juga biasanya membesar dengan cepat menyebabkan kasut sumbangan tidak dapat digunakan melebihi tempoh setahun.

The Shoe That Grows dicipta pada 2007 di Kenya selepas Kenton Lee melihat seorang gadis dengan kasut yang terlalu kecil untuk kakinya. Walau bagaimanapun, Lee tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang penghasilan kasut.

Dengan idea untuk membantu kanak-kanak miskin, Lee bekerjasama dengan syarikat pembangunan kasut yang dikenali sebagai Proof of Concept di Portland, Oregon. Mereka memulakan projek itu di AS dan menyempurnakan proses rekaan kasut pada tahun 2012 dan kini dihasilkan di China dan Ethiopia.

Rekaan The Shoe That Grows dengan 3 tempat boleh laras

Kasut yang direka tanpa saiz itu boleh dibesarkan dalam 5 saiz dan mampu bertahan sekurang-kurangnya selama 5 tahun. Tapaknya diperbuat daripada getah termampat, sama seperti getah tayar. Bahagian talinya pula diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi.

Kumpulan pertama kasut itu terjual sebanyak 3,000 pasang. Terkini, The Shoe That Grows telah diagihkan lebih dari 120,000 pasang di 91 negara termasuk Kenya, Ghana, Rwanda, Uganda, Nicaragua, Guatemala, Peru, Columbia, Vietnam, dan Laos. Kenya adalah negara terbanyak kasut itu diagihkan.

Lee dan organisasinya, Because International, bekerjasama dengan organisasi lain untuk mengedarkan kasut atau meminta orang yang pergi ke kawasan miskin untuk membawa kasut bersama dan mengedarkannya di sana.

Fesyen bukan sahaja gaya mewah yang dipakai oleh golongan bangsawan. Melalui fesyen, nasib golongan miskin juga boleh diubah. Orang ramai juga boleh sama-sama membantu kanak-kanak miskin ini dengan menderma di theshoethatgrows.org

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.