Bisnes & Ekonomi

Perdagangan Adil Bantu Tingkatkan Taraf Hidup Petani

Perdagangan adil (fair trade) adalah keadaan apabila petani di negara-negara membangun dibayar dengan harga yang sepatutnya untuk hasil kerja mereka.

Terang laman sesawang Traidcraft, hal ini berlaku apabila harga yang pengguna bayar untuk membeli sesuatu produk adalah mencukupi bagi petani untuk membiayai kehidupan mereka, seperti makanan, pendidikan dan keperluan kesihatan.

 

PUNCA KEWUJUDAN PERGERAKAN PERDAGANGAN ADIL

Pergerakan ini wujud selepas terdapat pihak yang menyedari perdagangan biasa tidak menyediakan pembayaran upah yang adil dan saksama serta sumber mata pencarian yang mampan bagi petani, di mana rata-rata mereka merupakan golongan termiskin dunia.

Kemiskinan dan kepayahan hidup juga menjadikan pekerja-pekerja ini mudah dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kemiskinan tegar menyebabkan mereka mempunyai pilihan pekerjaan yang terhad, kurang akses kepada pasaran serta tidak mempunyai kuasa yang kuat dalam rundingan dan perbincangan.

Konsep perdagangan adil adalah, para petani atau pekerja dibayar harga yang lebih tinggi untuk barangan atau perkhimatan yang mereka hasilkan. Kos ini akan ditanggung oleh pengguna.

Hal ini bermaksud pengguna akan membayar lebih banyak untuk produk yang didagangkan secara adil.

Simbol bagi gerakan perdagangan adil

 

MANFAAT BAGI PETANI YANG MELIBATKAN DIRI DALAM PERDAGANGAN ADIL

Perdagangan adil banyak memberi manfaat kepada golongan pengeluar yang rata-rata adalah golongan petani dan pekerja.

Antara manfaat-manfaat tersebut menurut laman sesawang Brighter Futures Together adalah petani:

  • Diberi jaminan harga minimum supaya ia boleh meliputi kos pengeluaran.
  • Diberi ‘premium’ supaya mereka boleh melabur dalam pembangunan komuniti.
  • Diberi bayaran pendahuluan supaya mereka boleh menampung kos pengeluaran.
  • Diberi kontrak supaya petani boleh merancang untuk jangka panjang serta membolehkan proses pengeluaran dijalankan secara berterusan.

 

PRINSIP-PRINSIP PERDAGANGAN ADIL

Menurut World Fair Trade Organisation, terdapat 10 prinsip perdagangan adil

10 prinsip tersebut adalah:

Prinsip 1: Mewujudkan peluang untuk pengeluar (petani/pekerja) yang kurang bernasib baik

Prinsip 2: Ketelusan dan kepertanggungjawaban

Prinsip 3: Amalan perdagangan adil

Prinsip 4: Bayaran harga yang adil

Prinsip 5: Memastikan tiada buruh kanak-kanak atau paksa

Prinsip 6: Komitmen untuk tidak mendeskriminasi, menghormati kesamaan gender, menghormati kuasa ekonomi wanita serta kebebasan untuk berpersatuan

Prinsip 7: Memastikan keadaan pekerjaan yang baik

Prinsip 8: Memastikan sentiasa terdapat kemajuan bagi pekerja dan komuniti

Prinsip 9: Menggalakkan perdagangan adil

Prinsip 10: Menghormati alam sekitar

 

CONTOH PRODUK PERDAGANGAN ADIL

Beberapa contoh produk perdagangan adil adalah pisang, koko, teh, gula, kapas dan emas.

 

Koko

Koko adalah sebuah tanaman yang sensitif, jadi para petani  bekerja keras melindungi pokok ini daripada kerosakan akibat angin, cahaya matahari, perosak, dan penyakit.

Jika dijaga dengan baik, pokok koko akan mula menghasilkan buah pada tahun kelima. Ia boleh terus berbuah selama 10 tahun.

Setelah bekerja keras,  petani koko hanya mendapat pulangan yang sedikit dari hasil jualan mereka, sedangkan industri koko global sebenarnya adalah sangat menguntungkan.

Kawasan utama penanaman koko adalah di Afrika, Asia, dan Amerika Latin.

Negara pengeluar terbesar berdasarkan jumlah adalah Côte d’Ivoire, di mana ia menghasilkan sekitar 40% daripada hasil koko global.

Kerana terdapat permintaan tinggi bagi produk koko, ia menyumbang kepada peningkatan harga biji koko.

Walau bagaimanapun, penyakit yang menyerang pokok koko, usia pokok koko yang kian lanjut serta kekurangan bilangan  petani yang ingin melibatkan diri dalam industri koko, mungkin akan menyebabkan masalah kekurangan bekalan koko di masa hadapan.

Kini, semakin ramai petani enggan menceburi dalam industri koko kerana tidak mendapat keuntungan yang banyak dan akan kekal dalam kemiskinan disebabkan pendapatan yang tidak cukup untuk menampung peningkatan kos pengeluaran dan perbelanjaan isi rumah.

Perdagangan membantu penanaman koko di tempat-tempat seperti Côte d’Ivoire dan Ghana supaya ia kekal mampan melalui pembayaran  premium.

Tujuan pemberian premium ini adalah supaya para petani boleh melabur dalam projek-projek perniagaan atau komuniti supaya ia boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan bagi keluarga mereka.

Pada tahun 2013-2014, petani koko memperoleh lebih daripada £ 8.4 juta dalam  bentuk premium perdagangan adil.

Hampir satu perempat dilaburkan untuk memberi sokongan kepada keluarga petani seterusnya memenuhi keperluan harian mereka.

 

Kapas

Kapas adalah tanaman komersil tertua di dunia serta merupakan salah satu tanaman serat paling penting dalam industri tekstil global.

Walaupun penghasilan kapas dunia didominasi oleh China, India dan Amerika Syarikat, penanaman kapas sangat penting untuk memastikan kelangsungan hidup pekerja dari negara-negara berpendapatan rendah di Asia Tengah dan Barat serta di Afrika.

Ramai petani kapas di negara-negara membangun, termasuk negara pengeluar kapas utama seperti India dan China, hidup dalam kesusahan.

Sebanyak 100 juta isi rumah terlibat secara langsung dalam penghasilan kapas. Jumlah ini adalah bersamaan dengan kira-kira 300 juta individu.

Bagi para petani, antara cabaran dalam menguruskan tanaman kapas adalah perubahan iklim, harga benih kapas yang sangat rendah, serta syarat-syarat perdagangan yang tidak bagus .

Kapas perdagangan adil dilancarkan untuk lebih memihak kepada petani-petani ini yang suara mereka sering tidak didengari dan diabaikan.

Mereka juga juga adalah golongan termiskin dalam rantaian bekalan kapas yang kompleks ini.

Menerusi kaedah-kaedah seperti Fairtrade Minimum Price (Harga minimum perdagangan adil) dan tambahan Premium Fairtrade (Premium Perdagangan adil) serta sokongan daripada organisasi-organisasi yang lebih demokratik,  perdagangan adil ingin menyediakan petani-petani ini dengan pelbagai cara untuk berdagang serta pendapatan yang lebih tinggi dan stabil.

 

BAGAIMANA PENGGUNA BOLEH MEMBANTU MENGGALAKKAN PERDAGANGAN ADIL?

Tujuan perdagangan adil adalah memastikan aktiviti perdagangan boleh membantu golongan miskin.

Pengguna boleh boleh membantu menentang kemiskinan dengan memilih untuk membeli produk perdagangan adil.

Produk-produk perdagangan adil boleh diketahui statusnya dengan logo perdagangan adil yang terdapat pada hasil-hasil tanaman tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker