Hiburan

Konsert-Konsert Artis Antarabangsa di Malaysia Tahun Ini

Tidak ramai artis antarabangsa yang mengadakan konsert jelajah di Malaysia. Ini adalah senarai artis antarabangsa yang telah pun mengadakan dan akan mengadakan konsert di Malaysia untuk suku pertama tahun ini.

IMAGINE DRAGONS

Telah pun berlangsung pada 6 Januari lalu di Stadium Malawati Shah Alam, Imagine Dragons kini dalam rangka promosi album ketiga mereka, Evolve yang menghasilkan lagu popular seperti Thunder dan Believer.

Band yang mula dibentuk pada tahun 2008 itu, mendapat perhatian global pada tahun 2012 menerusi album Night visions dengan lagu hits seperti Radioactive. Mereka telah memenangi Anugerah Grammy, Billboard Music Awards dan American Music Awards.

JAY CHOU

Bercerita tentang superstar Asia, tidak ramai yang berjaya seperti Jay Chou. Artis Taiwan ini telah lama berada di puncak kegemilangan dengan album terlaris, filem hit, dan konsert yang berjaya di seluruh dunia.

Chou tidak lama lagi akan melancarkan The Invincible 2 Jay Chou Concert Tour 2018 di seluruh dunia, dan Malaysia akan menjadi persinggahan kedua selepas Singapura. Konsert itu akan diadakan di Stadium Merdeka pada 7 Januari, bermula jam 8 malam.

INCUBUS

Ikon Rock Alternatif, Incubus dijadual mengadakan pertunjukan satu malam di Kuala Lumpur pada 13 Februari 2018, 8PM di KL Live.

Incubus mendapat pengiktirafan antarabangsa berikutan pelancaran album ketiga mereka pada tahun 1999, ‘Make Yourself’ yang menghasilkan beberapa hits, termasuk lagu carta tertinggi mereka, “Drive”. Telah menghasilkan 8 studio album yang dijual lebih daripada 13 juta salinan di seluruh dunia, band ini terkenal dengan lagu-lagu rock seperti “Wish You Here”, “Megalomaniac”, “Anna Molly”, dan “Pardon Me”.

JOHN LEGEND 

Penyanyi dan penulis lagu R&B, John Legend akan membawa jelajahnya ke Malaysia. Pemenang Grammy berusia 38 tahun itu akan mengadakan konsert di Resorts World Genting di Genting Highlands, Pahang pada 17 Mac, 2018.

Legend yang terkenal dengan lagu-lagu seperti All Of Me dan Ordinary People, telah menerima 10 Anugerah Grammy. Album terbarunya, Darkness And Light menampilkan single hits, Love Me Now dan Penthouse Floor. Legend juga telah menerima Academy Awards untuk Lagu Asal Terbaik bagi filem Glory pada tahun 2015.

JAMES BLUNT

Penyanyi dan penulis lagu dari UK, James Blunt telah mengumumkan akan ke Malaysia pada 25 Mac ini di Genting Highland Resorts Arena. Blunt yang popular menerusi lagu You’re Beautiful dan Goodbye My Lover, kini dalam rangka promosi album terbarunya, The Afterlove yang dilancarkan pada Mac 2017.

Penyanyi itu telah menjual lebih daripada 20 juta salinan album dan 20 juta salinan single di seluruh dunia. Beliau juga telah menerima beberapa anugerah, termasuk dua Anugerah Brit, Anugerah Video Muzik MTV, dan pencalonan Grammy.

BRUNO MARS

Bruno Mars, yang pernah mengadakan konsert di Malaysia pada tahun 2011, akan kembali lagi untuk konsert album terbarunya, 24K Magic yang telah menghasilkan hits seperti Versace On The Floor dan That’s What I Like.

Pemenang Grammy sebanyak 5 kali itu akan membawa 24K Magic World Tour ke Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mei ini. Mars, yang telah mengeluarkan tiga album setakat ini, telah menjual 170 juta salinan single dan 26 juta salinan album di seluruh dunia. Tiket konsertnya bagaimanapun habis terjual hanya dalam masa 45 minit!

Maklumat lanjut tentang semua konsert dan tiket boleh didapati di laman web ticket2u.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker