Teknologi

Najis Anjing Sebagai Sumber Tenaga Baharu?

Manusia telah bergantung pada sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui (antara contohnya, adalah sumber bahan api fosil) buat suatu tempoh masa yang lama.

Penggunaan sumber bahan api fosil ini bukan sahaja tidak mesra alam sekitar malah akan habis suatu hari nanti.

Hal ini menyebabkan ramai penyelidik mengkaji sumber tenaga baharu yang bukan sahaja mesra alam malah menjimatkan kos.

Salah satunya adalah sumber tenaga yang dijana daripada sumber najis haiwan dan manusia.

Kini terdapat pelbagai inovasi yang sedang dijalankan untuk mereliasasikan perkara ini menjadi sebuah kenyataan.

 

LAMPU JALAN MENGGUNAKAN TENAGA ELEKTRIK DARIPADA NAJIS ANJING

Antaranya adalah lampu jalan yang dijana tenaga elektrik daripada najis anjing.

 Ia boleh dijumpai di United Kingdom.

Menurut Daily Mail Online, pemilik anjing yang membawa anjing mereka berjalan-jalan di Malvern Hills boleh memasukkan najis anjing mereka di dalam mesin yang kelihatan seperti mesin basuh yang dipasang bersama lampu jalan.

Najis itu  kemudian akan diuraikan menggunakan mikroorganisma tertentu untuk menghasilkan gas metana.

Metana yang dihasilkan akan digunakan untuk menghasilkan cahaya lampu untuk menerangi jalan.

Sebanyak sepuluh buah bag najis dalam mesin pencerna anaerobik ini boleh menghasilkan cahaya selama dua jam malah dapat mengakhiri masalah pembuangan beg najis ini secara merata-rata.

Pencetus idea ini, Brian Harper telah berjaya memikirkan idea untuk mencipta mesin ini tiga tahun yang lalu.

Beliau telah mencipta lampu inovatif ini berhampiran Malvern Hills di Worcestershire dengan bantuan pembiayaan dari Malvern Hills Area of Outstanding Natural Beauty (Persatuan kecantikan Semulajadi Malvern Hills).

‘Lampu yang dihasilkan daripada gas ini melebihi imaginasi individu serta menunjukkan kepada orang ramai najis anjing juga boleh digunakan semula,’ terang En Harper, mewakili kumpulan Transition Malvern Hills.

 

BAGAIMANA TENAGA ELEKTRIK DIHASILKAN DARIPADA NAJIS?

Di dalam mesin tersebut,  najis akan dipanaskan dan dicampur dengan bahan pencernaan anaerobik.

Bahan pencernaan anaerobik bermaksud bakteria digunakan untuk menguraikan najis tersebut di dalam keadaan tiada oksigen.

Apabila proses ini selesai, biomethane yang  terhasil boleh digunakan untuk menjana tenaga elektrik seterusnya menghasilkan cahaya lampu.

 

MENJANA TENAGA DI RUMAH-RUMAH

Di Ontario, Kanada pula, orang ramai diminta untuk meletakkan najis haiwan peliharaan mereka di dalam unit simpanan konkrit.

Ia kemudian akan dihantar di sebuah loji pusat yang besar, di mana najis ini akan dicampur dengan sisa organik lain untuk menguraikannya.

Metana yang telah dihasilkan digunakan untuk menjana tenaga elektrik serta dijual pada para petani untuk dijadikan baja tanaman.

Menerusi ujian yang telah dilakukan dalam sesi percubaan selama 18 bulan, golongan pakar membuat kesimpulan, penggunaan cara ini boleh menghasilkan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menjana tenaga buat 13 buah rumah.

 

SUMBER TENAGA BAGI BAS

Bas pertama Britain yang dikuasai oleh sisa buangan manusia telah diperkenalkan pada tahun 2014.

Mempunyai 40 tempat duduk, Bio-Bus dijana oleh gas biomethane, yang dihasilkan oleh sisa kumbahan yang telah dirawat dan sisa makanan di sebuah loji pemprosesan.

Sebuah tangki gas yang dipenuhi bahan buangan seramai lima orang buat setahun – sudah cukup untuk menggerakkan kenderaan untuk sejauh 190 batu (305km).

Gas ini dihasilkan di loji pembetungan Air Wessex, yang dikendalikan oleh firma tenaga GENeco.

Ia juga menjadi syarikat pertama yang mula menghantar gas yang dihasilkan dari sisa kumbahan manusia secara terus ke sekitar 5,000-6,000 rumah oleh grid kebangsaan.

Setiap tahun, loji kumbahan di Avonmouth, Bristol, England merawat 75 juta meter padu sisa kumbahan, dan 35,000 tan sisa makanan.

Loji tersebut mampu menghasilkan 17 juta tan biomethane setahun, menggunakan pencernaan anaerobik – proses menggunakan bakteria untuk memecahkan bahan-bahan dalam keadaan tiada oksigen .

‘Kemudahan kami kini bukan sahaja menawarkan rawatan kumbahan tradisional tetapi ia juga berfungsi sebagai kilang.

Ia menggunakan sumber seperti sisa kumbahan dan makanan untuk dijadikan produk-produk seperti minyak masak atau untuk menghasilkan baja yang kaya dengan nitrogen dan fosfat, terang Mohammed Saddiq, pengarah urusan GENeco.

Konsep menggunakan najis ini bukanlah sebuah perkara baru –  hal ini kerana sejak zaman Neolitik lagi,  manusia telah menggunakan najis haiwan sebagai bahan bakar.

Di negara-negara barat yang membangun, sudah terdapat banyak loji yang menghasilkan tenaga haba dan elektrik dari najis haiwan dan manusia.

Walaubagaimanapun, sumber yang penuh potensi dan berharga ini tidak dieksploitasi dengan sepenuhnya kerana terdapat bahan api daripada fosil yang lebih  murah.

Menariknya, bertambah ramai individu di seluruh dunia yang semakin bijak dalam menggunakan sumber yang belum diterokai ini.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker