Isu SemasaTempatan

Memahami Dan Mengekang Gejala ‘Mat Rempit’

Mat Rempit merupakan istilah yang diberi kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam lumba haram

Mereka biasanya dengan menggunakan motor ‘kapcai’ atau skuter.

Kini, lumba haram merupakan satu gejala sosial dalam kalangan remaja Malaysia.

Minah Rempit pula gelaran yang diberi kepada seorang pelumba perempuan, atau teman wanita Mat Rempit.

Menurut laman web Direktori Pusat Maklumat Rakyat, walaupun kebanyakan Mat Rempit sering melibatkan diri dalam perlumbaan, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya.

Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu.

GELARAN ‘MAT REMPIT’ SEOLAH PENGIKTIRAFAN

Hentikan menggelar mereka yang terbabit dengan kegiatan perlumbaan motosikal haram sebagai ‘Mat Rempit’ – demikian langkah pertama yang dicadangkan pakar psikiatari terkenal, Prof Mohamad Hussain Habil bagi mengatasi masalah sosial ini

Beliau menerangkan dengan menggelarkan mereka Mat Rempit, golongan berkenaan akan berasa lebih besar kepala dan mendorong mereka untuk meneruskan gelagat mereka dengan lebih kerap dan angkuh.

Mohamad Hussain, yang menerajui Jabatan Psikiatari Universiti Malaya, berkata, sebenarnya remaja yang terlibat dengan perlumbaan motosikal haram ingin mencari perhatian dan label ‘Mat Rempit’ yang diberi kepada mereka.

Hal ini kerana, gelaran ini akan menjadikan mereka lebih seronok dan menganggapnya sebagai lesen atau pengiktirafan oleh masyarakat terhadap kegiatan mereka

“Cerita tentang mereka yang sering tersiar dalam akhbar, majalah, radio dan televisyen juga menjadikan mereka lebih gemar untuk meneruskan gaya hidup mereka itu kerana ia memenuhi ego mereka yang kononnya merupakan golongan yang macho dan berani,” katanya

Antara individu yang terlibat dengan gejala ini adalah remaja dan remaja bawah umur.

STATISTIK BERKENAAN MAT REMPIT

Menurut laman sesawang Paultan.org Dalam tempoh Januari hingga September 2017, SAC Sharul Othman Mansor,  Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman telah mengumumkan sebanyak 764 tangkapan telah dilakukan menerusi 2,795 operasi membanteras lumba haram melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Daripada jumlah itu, seramai 369 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 hingga 20 tahun, sebanyak 275 orang berusia 21 hingga 25 tahun, seramai 87 orang berusia kurang daripada 15 tahun, seramai 30 orang berusia 26 hingga 30 tahun dan tiga orang berusia lebih daripada 31 tahun.

PUNCA PERANGAI MAT REMPIT YANG SEMAKIN MELIAR

Pada tahun 2012, ketika sidang Dewan Negara Sesi Julai dijalankan, Menteri Dalam Negeri telah menerangkan punca-punca yang menyebabkan golongan Mat Rempit ini menjadi semakin liar dan sukar dikawal. Berikut adalah antara punca-punca tersebut:

1)      Sikap golongan remaja terutamanya yang berumur di antara 14 hingga 25 tahun yang suka menunjuk-nunjuk kemahiran dan keberanian mereka dalam kalangan rakan sebaya lain tanpa mengira musibah dan bahaya yang bakal dihadapi;

2)      Sikap golongan remaja yang menjadikan aktiviti perlumbaan haram dan samseng jalanan sebagai aktiviti riadah bagi mengisi masa lapang dan melepaskan tekanan yang mereka alami.

3)      Kurangnya perhatian daripada ibu bapa dan sikap tidak ambil tahu tentang aktiviti luar serta pergaulan anak-anak di luar rumah;

4)    Tawaran hadiah lumayan seperti wang tunai dan wanita/Minah Rempit sebagai imbuhan kemenangan dan ini juga boleh menyumbang kepada masalah sosial yang lain seperti jenayah rogol.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG SEDIA ADA

Seseorang yang terlibat dalam aktiviti merempit boleh didakwa di bawah Seksyen 81 A.P.J. ’87.

Antaranya, dia sebenarnya boleh:

1) Didenda sebanyak RM2000.

2) Dipenjara selama 6 bulan. (Individu mungkin boleh dikenakan kedua-dua hukuman di atas).

3) Lesennya mungkin digantung buat 1 tahun.

Sekiranya, seseorang itu terlibat dalam kes merempit motor buat kali kedua, dakwaaan-dakwaaannya adalah:

1) Denda sebanyak RM5000.

2) Penjara selama 1 tahun (Individu mungkin boleh dikenakan kedua-dua hukuman di atas.

3) Lesenya akan digantung selama 3 tahun.

CADANGAN MENYEKAT PERTAMBAHAN GOLONGAN MAT REMPIT

Seorang pembaca akhbar The Star telah memberi cadangan untuk menyekat golongan mat rempit ini daripada bercambah.

Katanya, kini terdapat beberapa orang bekas Mat Rempit yang kini membenci perlumbaan haram yang dijalankan di jalan raya.

Kini ramai daripada mereka mengambil bahagian dalam perlumbaan yang terkawal.

Ramai juga yang menjadikan bidang mekanik sebagai kerjaya mereka.

Terdapat juga yang berjaya menjadi pelumba motor yang mashur.

Sebagai contoh,  pemuda Melayu bernama Azlan Shah Kamaruzaman.

Pemuda ini merupakan juara terkini acara SuperSports 600cc Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia (ARRC).

Beliau baru memenangi gelaran ini sebulan yang lalu, mengalahkan rakan senegara, Mohd Zaqhwan Zaidi di dalam perlumbaan ini yang telah dijalankan di Buriram, Thailand

.Pembaca ini mencadangkan, dengan mengadakan perlumbaan seperti ini di Malaysia, ia akan menggalakkan perlumbaan seperti ini dijalankan hanya di litar-litar lumba.

Malah akan terdapat golongan profesional untuk mengajar remaja-remaja ini untuk menjadi  pelumba hebat.

Hal ini adalah lebih baik daripada mereka menjadi penjenayah di jalanan.

Terangnya lagi, terdapat juga Cub Prix Malaysia, sebuah lagi acara untuk penunggang mempamerkan kebolehan mereka tanpa membahayakan orang lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker