AntarabangsaIsu Semasa

Senjata Nuklear Korea Utara ‘Makan Tuan’

Sepanjang tahun 2017, berita mengenai ujian peluru berpandu Korea Utara kerap menjadi topik utama di dada-dada akhbar.

Namun, laporan terbaru mendedahkan bahawa salah satu ujian yang dilakukan oleh rejim itu pada bulan April didapati gagal dan senjata berkenaan sebaliknya terkena lalu memusnahkan sebuah bandar di negara tersebut.

Difahamkan, peluru berpandu balistik antara benua bernama Hwasong-12 itu dilancarkan dari Lapangan Terbang Pukchang pada 28 April 2017.

Memetik laporan The Diplomat, ia kemudian terbang sejauh kira-kira 24 batu ke arah timur laut sebelum terjatuh di kawasan perindustrian dan pertanian di bandar Tokchon, yang terletak dua jam perjalanan dari ibu kota Korea Utara.

Berdasarkan imej satelit, terdapat juga kawasan kediaman dan bangunan-bangunan komersial berdekatan lokasi itu dan orang ramai mungkin telah terdengar bunyi letupan.

Namun begitu, masih tiada pengesahan jika berlaku sebarang kematian atau kecederaan di bandar yang mempunyai kira-kira 200,000 penduduk itu.

Amerika Syarikat dengan kerjasama negara-negara lain telah bertungkus-lumus berusaha untuk menghalang Pyongyang daripada meneruskan pembangunan program nuklear mereka.

Walaupun baru sahaja masuk tahun baru, perang mulut di antara AS, Donald Trump dan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un masih berterusan dan menjadi semakin tegang hari demi hari.

Situasi menjadi semakin buruk apabila Kim memberi amaran bahawa butang nuklear berada di atas mejanya dan ia boleh ditekan pada bila-bila masa sahaja sekiranya negara beliau diancam.

Mengeruhkan lagi keadaan, Trump membalas kenyataan tersebut dengan mengatakan beliau mempunyai butang nuklear yang lebih besar dan berkuasa.

Bukan itu sahaja, malah kedua-dua pemimpin juga mengugut untuk memusnahkan antara satu sama lain, sekali gus mencetuskan kebimbangan seluruh dunia kerana sekiranya tersilap langkah, peperangan boleh meletus pada bila-bila masa.

Sementara itu, Korea Selatan dan Utara telah bersetuju untuk mengadakan rundingan rasmi pada 9 Januari ini bagi membincangkan pelbagai perkara yang melibatkan isu-isu kepentingan bersama.

Pada masa yang sama, komander pasukan tentera gabungan AS dan Korea Selatan (USFK), Jeneral Vincent K Brooks berkata, tentera AS sudah bersiap sedia untuk menentang Korea Utara sekiranya keadaan memaksa.

Tambahnya lagi, tentera AS dan Seoul berada dalam keadaan kukuh dan berjaga-jaga sementara memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin mereka untuk berunding secara diplomatik.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker