Isu SemasaTempatan

Jenis Kediaman Apa Yang Sesuai Untuk Anda?

Pada zaman ini, mencari rumah yang sesuai untuk didiami bukan satu proses yang mudah susulan peningkatan mendadak harga hartanah dan pelbagai faktor lain.

Sehubungan dengan itu, jenis rumah juga memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada ia sesuai dengan keadaan anda atau sebaliknya.

Seperti yang diketahui umum, jenis rumah terbahagi kepada dua kategori iaitu rumah bertanah (landed) dan rumah berstrata/bertingkat (high-rise)

Antara contoh rumah bertanah adalah rumah teres, banglow, semi-d, dan villa, manakala rumah berstrata pula adalah pangsapuri, flat, kondominium dan sebagainya.

Persoalannya, mana satu yang sesuai untuk anda?

Sebelum membuat keputusan, berikut adalah kelebihan dan kekurangan rumah berstrata dan bertanah yang perlu diambil kira:

 

RUMAH BERTANAH

KELEBIHAN

Rumah-rumah bertanah sangat sesuai untuk individu-individu yang sudah berkeluarga kerana ia mempunyai ruang yang lebih besar dan luas berbanding rumah berstrata.

Jadi, anda tidak perlu risau sekiranya anda mempunyai keluarga yang agak besar.

Selain itu, rumah bertanah juga mempunyai nilai yang lebih tinggi, di mana harganya akan meningkat dengan banyak dari tahun ke tahun.

Ia sangat berbaloi sekiranya anda mahu menjadikannya sebagai pelaburan jangka masa panjang kerana anda berpeluang untuk mendapat pulangan yang agak lumayan.

Dari segi privasi pula, rumah bertanah selalunya tidak terletak di tengah-tengah bandar yang sibuk dan keadaan di kawasan perumahan lebih aman dan tenang.

Memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia masih bergantung kepada kenderaan persendirian sebagai medium pengangkutan, ia adalah satu bonus untuk memiliki rumah bertanah kerana anda akan mempunyai tempat letak kereta tersendiri yang luas.

 

KEKURANGAN 

Memang benar rumah bertanah adalah bagus untuk pelaburan harga masa panjang, namun harga untuk memilikinya juga adalah lebih mahal berbanding rumah berstrata, lebih-lebih lagi jika ia terletak berdekatan dengan kawasan bandar.

Anda juga perlu menyediakan wang tambahan untuk penyelenggaraan dan ia akan ditanggung sepenuhnya oleh anda.

Memandangkan kebanyakan rumah bertanah terletak jauh dari bandar-bandar utama, anda perlu juga mengambil kira kos dan masa perjalanan, khususnya untuk ke tempat kerja.

Dari aspek keselamatan semua, kebanyakan kawasan perumahan bertanah mempunyai pengawal keselamatan.

Tetapi ingat, ia juga sering menjadi sasaran perompak memandangkan ia lebih mudah bagi mereka untuk ‘melakukan tugas dan melarikan diri.’

 

RUMAH BERSTRATA

KELEBIHAN

Baiklah, sekarang kita bincang pula tentang kelebihan rumah berstrata.

Kondominium dan pangsapuri pada masa kini sudah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kedai runcit, kolam renang, restoran dan sebagainya.

Berbanding rumah bertanah, harga rumah berstrata juga selalunya jauh lebih murah dan ia amat sesuai untuk golongan yang baru bekerja atau pasangan suami isteri yang masih belum mempunyai cahaya mata.

Walaupun nilainya tidak setinggi rumah bertanah, ia juga boleh dijadikan pelaburan jangka masa panjang kerana ramai orang muda, terutamanya pelajar lebih gemar untuk menyewa rumah berstrata memandangkan ia selalunya terletak berdekatan dengan kolej dan universiti.

Anda juga boleh menikmati pandangan yang indah sekiranya anda memilih unit rumah yang betul.

 

KEKURANGAN 

Rumah berstrata mempunyai pelbagai kemudahan dan harganya juga lebih murah berbanding rumah bertanah.

Tetapi ingat, setiap penduduk perlu menyediakan wang tambahan untuk membayar yuran penyelenggaraan untuk bersama-sama menjaga dan mengekalkan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan.

Kemudian, rumah berstrata dibina dengan saiz yang lebih kecil dan ia tidak berapa sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga besar.

Tidak bebas seperti rumah bertanah, setiap penduduk pangsapuri atau kondominium perlu mematuhi set peraturan yang agak ketat, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai haiwan peliharaan.

Dalam pada itu, ia juga akan memberi kesukaran kepada individu-individu yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan kerana tempat letak kereta adalah terhad.

 

MANA SATU PILIHAN ANDA?

Dengan kelebihan dan kekurangan yang disediakan di atas, yang mana satu menjadi pilihan anda?

Apa-apa pun ingat. Tidak kira jenis rumah apa pun yang anda ingin miliki, pastikan anda memperoleh pendapatan yang cukup dan mampu menampung sebarang komitmen.

Akhir sekali, pastikan juga rumah yang dipilih itu selesa untuk didiami dan sesuai dengan keadaan diri anda.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker