AntarabangsaIsu Semasa

Pembaharuan Ekonomi Indonesia Membuahkan Hasil

Pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia untuk merangsang pertumbuhan ekonomi sudah mula membuahkan hasil di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Bulan Disember lepas, Jokowi berkata, langkah pembaharuan ini membolehkan Indonesia untuk melaksanakan pelan infrastruktur yang terbesar di dalam sejarah negara itu.

Memetik laporan Bloomberg, keadaan di sana telah bertambah jauh lebih baik berbanding 4 tahun lalu (2014), ketika Jokowi baru dilantik menjadi presiden.

“Perkembangan positif ini adalah disebabkan satu perkara sahaja: pembaharuan,” katanya dalam sebuah persidangan di Jakarta pada tahun lalu.

Pada setiap suku tahun 2017, pertumbuhan ekonomi berada di atas paras  5%, dan ia dijangka akan meningkat kepada 5.4% pada tahun ini.

Walaupun sasaran asal adalah untuk mencapai 7%, beliau menyatakan bahawa pemulihan eksport dan peningkatan pelaburan menggambarkan kekukuhan ekonomi Indonesia.

Nilai matawang rupiah juga dilihat semakin pulih, di mana ia telah meningkat hampir 9% berbanding Dolar AS.

Walau bagaimanapun kata Jokowi, negara itu masih bergantung kuat kepada pinjaman luar dan ia adalah lebih baik untuk beralih kepada lebih banyak sumber pembiayaan domestik.

Kerajaan telah berusaha bertungkus-lumus dalam melaksanakan perubahan berkenaan, termasuk memansuhkan subisidi minyak dan menggunakan peruntukan itu untuk membina jalan raya, landasan kereta api, dan juga pelabuhan.

“Kita berada di landasan yang betul untuk menyiapkan jumlah infrastruktur yang paling banyak dibina dalam tempoh lima tahun di Indonesia,” ujarnya.

Walaupun pelbagai perubahan telah dilakukan, Jokowi masih menghadapi pelbagai cabaran ekonomi yang lain.

Indonesia masih mempunyai rekod pematuhan cukai yang lemah dan ia perlu meningkatkan hasil pendapatan negara untuk mengawal defisit bajet.

Indonesia telah melonjak 19 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-72 daripada 190 buah negara di dalam indeks Bank Dunia bagi kategori negara yang paling mudah untuk melakukan perniagaan.

Namun begitu, negara tersebut masih perlu membetulkan ketidaktentuan peraturan untuk menarik minat pelabur-pelabur asing.

 “Kami mengaku bahawa aduan utama pelabur-pelabur adalah ketidaktentuan peraturan. Saya agak terkejut dengan betapa mundurnya proses pembuatan dasar (di negara ini).
“Cara kami membuat dasar adalah begitu jauh ketinggalan berbanding cara pada masa kini,” kata Thomas Lembong, Pengerusi  Badan Koordinasi Pelaburan Modal Indonesia.

Tetapi tambahnya lagi, Presiden Jokowi sedar akan cabaran ini dan sedang berusaha untuk memperbaharui birokrasi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker