AntarabangsaIsu SemasaPolitik

China Dan Kemboja “Semakin Rapat”

China meluahkan keyakinan mereka bahawa pilihan raya umum Kemboja pada bulan Julai ini akan dilaksanakan secara adil dan saksama.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Naib Menteri China, Kong Xuanyou baru-baru ini, selepas Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah berhenti memberi sokongan kepada Kemboja susulan pembubaran secara paksa Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNPR), iaitu parti pembangkang utama di negara itu.

Memetik laporan Al-Jazeera, China merupakan negara utama yang memberi bantuan kepada Kemboja, dan sokongan itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Perdana Menteri Hun Sen, ketika beliau sedang menghadapi kritikan antarabangsa kerana mengambil tindakan keras terhadap pihak pembangkang kerana melakukan “pembelotan”.

“China menghormati dan menyokong haluan pembangunan yang dipilih oleh rakyat Kemboja, dan mempercayai pilihan raya akan datang Kemboja boleh, di bawah pengawasan semua pihak, mencerminkan keadilannya dan memilih parti dan pemimpin yang memuaskan rakyat Kemboja,” kata Kong.

Dalam sebuah sesi taklimat, Kong menyatakan bahawa China menawarkan bantuan pilihan raya kepada Kemboja, namun beliau tidak memberi maklumat terperinci mengenainya.

Menurut kerajaan Kemboja pula, China akan memberi bantuan dari segi peralatan termasuk menyediakan kotak undi dan pusat mengundi.

Kong berkata, China adalah sumber pelaburan asing, rakan kongsi perdagangan, dan juga pelancong yang terbesar bagi Kemboja.

Sejak negara itu mengambil tindakan keras terhadap pengkritiknya, hubungan di antara China dan Kemboja dilihat menjadi semakin rapat.

Kumpulan hak asasi manusia dan kerajaan Barat menyifatkan pengharaman CNRP sebagai taktik kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan menjelang pilihan raya dan juga kehancuran demokrasi.

Difahamkan, kuasa Barat telah membelanjakan jutaan bilion dolar sejak tahun 1993 untuk memulihkan Kemboja dan menubuhkan sistem politik pelbagai parti selepas peperangan yang berlangsung selama berdekad-dekad.

Dalam pada itu, Hun Sen telah memerintah Kemboja lebih daripada 30 tahun, dan beliau berhasrat untuk kekal berkuasa sekurang-kurangnya bagi tempoh 10 tahun lagi.

Beliau juga merupakan salah seorang pemimpin yang berucap di sebuah forum parti politik antarabangsa yang dianjurkan oleh Presiden China, Xi Jinping dan Parti Komunis di Beijing pada bulan lepas.

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker