AntarabangsaIsu Semasa

Vietnam Tubuh Tentera Siber “Force 47”

Tentera Vietnam telah menubuhkan sebuah pasukan ‘tentera siber’ yang mempunyai lebih daripada 10,000 anggota.

Diberi nama “Force 47”, penubuhan pasukan itu bertujuan untuk menentang sebarang kritikan, pandangan serong, dan ancaman terhadap propaganda kerajaan dan keselamatan negara.

Memetik laporan BBC, penggunaan media sosial di Vietnam mencatatkan rekod yang tinggi, namun negara itu juga mempunyai peraturan yang ketat dalam menyekat hak kebebasan bersuara.

Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa orang blogger telah dijatuhkan hukuman penjara kerana menerbitkan artikel-artikel yang mengkritik pentadbiran negara komunis itu.

Langkah ini dilihat serupa dengan undang-undang di China, namun apa yang membezakan kedua-dua negara itu adalah Vietnam masih membenarkan syarikat-syarikat teknologi Barat untuk beroperasi di sana.

LEBIH SEPARUH RAKYAT VIETNAM MEMPUNYAI AKSES INTERNET

Pada hari Krismas tahun 2017, timbalan ketua jabatan politik tentera, Leftenan Jeneral Nguyen Trong Nghia, telah mengumumkan penubuhan Force 47 di dalam ucapannya.

Beliau berkata, 62.7% atau lebih daripada 90 juta rakyat Vietnam kini mempunyai akses kepada internet.

“Kadar pertumbuhan (pengguna internet) yang kuat boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada negara.

“Dari aspek negatif, musuh mengambil kesempatan di internet untuk mencetuskan huru-hara,” tegasnya.

Dalam pada itu, kerajaan Vietnam juga mengharamkan penubuhan parti politik bebas dan juga organisasi hak asasi manusia.

5 tahun lalu (2013), negara itu memperkenalkan satu undang-undang yang melarang orang awam daripada mengadakan perbincangan mengenai isu-isu semasa di atas talian (online).

Di bawah undang-undang tersebut, penggunaan media sosial dan blog hanya terhad untuk berkongsi maklumat peribadi.

Walaupun mempunyai peraturan internet yang ketat, Vietnam kekal sebagai salah satu daripada sepuluh pasaran terbesar Facebook, yang mempunyai kira-kira 52 juta pengguna aktif.

Youtube dan Twitter juga tidak ketinggalan sebagai aplikasi yang popular di kalangan penduduk negara itu.

KECAMAN KUMPULAN HAK ASASI MANUSIA

Undang-undang internet yang ketat itu dikuatkuasakan susulan hukuman penjara 15 orang individu yang didakwa merancang untuk mengebom lapangan terbang terbesar di Vietnam.

Menurut laman sesawang berita rasmi kerajaan, pihak tertuduh telah diarahkan oleh kumpulan dari luar negara yang menggunakan media sosial untuk merekrut mereka dan menyebarkan propaganda tersendiri.

Sementara itu, terdapat juga kes lain yang menyaksikan penahanan blogger-blogger kerana mengkritik pihak kerajaan di atas talian.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch telah mengecam tindakan kerajaan kerana menyekat hak kebebasan bersuara rakyat mereka.

Berdasarkan statistik, jumlah blogger dan aktivis yang dipenjarakan di Vietnam telah meningkat sebanyak 3 kali ganda daripada tahun 2015 dan 2016.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker