Gaya HidupKesihatan

Mengenali Penyakit Buah Pinggang Kronik

Ujar laman web Mayo Clinic, fungsi ginjal adalah untuk menapis dan mengasingkan bahan buangan dan cecair berlebihan dari darah.

Bahan-bahan ini seterusnya akan dikeluarkan menerusi air kencing.

Penyakit buah pinggang (ginjal) kronik  merupakan satu keadaan di mana buah pinggang secara beransur-ansur gagal untuk berfungsi.

Apabila seseorang menghidapi penyakit buah pinggang kronik tahap lanjut, lebihan cecair, elektrolit dan bahan buangan boleh terkumpul di dalam tubuh seterusnya boleh membahayakan kesihatan.

GEJALA SAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

Pada peringkat awal, penyakit ini selalunya tidak menunjukkan gejala.

Ia hanya boleh dikesan jika terdapat ujian darah atau air kencing yang dijalankan disebabkan penyakit lain yang melibatkan buah pinggang.

Antara tanda-tanda dan gejala penyakit buah pinggang menurut National Health Service, UK termasuklah:

  • Rasa Loya
  • Muntah-muntah
  • Hilang selera makan
  • Keletihan yang teramat serta lemah tubuh badan
  • Masalah tidur
  • Perubahan dalam corak membuang air kecil
  • Cara berfikir tidak setajam dulu
  • Masalah otot dan kekejangan
  • Bengkak pada kaki dan buku lali
  • Gatal yang berterusan
  • Sakit dada, jika terdapat cecair terkumpul di dalam lapisan jantung
  • Sesak nafas, jika terdapat cecair terkumpul di dalam paru-paru
  • Tekanan darah tinggi yang sukar dikawal

Kerana organ ini sangat mudah menyesuaikan diri terhadap penyakit dan mampu mengimbangkan kembali kegagalan fungsi yang mungkin telah berlaku, tanda-tanda dan gejala mungkin tidak kelihatan sehingga kerosakan yang sangat teruk telah berlaku pada buah pinggang.

MENGENALPASTI PUNCA-PUNCA PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

Antara punca penyakit buah pinggang kronik menurut laman web MayoClinic adalah :

  • Tekanan darah tinggi – tekanan darah tinggi buat masa yang lama boleh memberi tekanan pada saluran darah kecil di buah pinggang dan menjejaskan fungsi buah pinggang.
  • Kencing manis – terlalu banyak glukosa dalam darah boleh merosakkan penapis kecil di buah pinggang
  • Kolesterol tinggi – ia boleh menyebabkan pembentukan lemak di dalam saluran darah buah pinggang individu, ini boleh menjejaskan fungsi buah pinggang.
  • Jangkitan buah pinggang
  • Glomerulonephritis – radang buah pinggang
  • Penyakit ginjal polisistik – sebuah penyakit keturunan di mana sista (sejenis ketumbuhan) muncul pada buah pinggang
Perbandingan ginjal yang sihat (kiri) dan yang menghidap penyakit polisistik (kanan)
  • Aliran air kencing tersumbat – contohnya akibat formasi batu karang yang berulang atau prostat yang membesar
  • Penggunaan ubat tententu buat satu jangka masa yang panjang – seperti lithium dan ubat anti radang bukan steroid

KOMPLIKASI PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

Penyakit ini boleh menjejaskan hampir setiap bahagian tubuh badan seorang individu. Ujar National Health Service, United Kingdom antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:

  • Pengumpulan cecair. Hal ini boleh membuatkan lengan dan kaki pesakit membengkak, pesakit mengalami darah tinggi, atau terdapatnya cecair pada paru-paru pesakit (edema paru-paru).
  • Peningkatan paras kalium (zat yang terkandung dalam pisang) dalam darah (hiperkalemia) secara tiba-tiba, boleh menjejaskan fungsi jantung seterusnya boleh membahayakan nyawa.
  • Penyakit jantung dan darah (kardiovaskular).
  • Tulang lemah dan peningkatan risiko keretakan tulang.
  • Anemia
  • Mengurangkan keinginan seks, menimbulkan gangguan ereksi atau mengurangkan kesuburan.
  • Kerosakan kepada sistem saraf pusat pesakit. Hal ini boleh menyebabkan kesukaran untuk menumpukan perhatian, perubahan pada personaliti malah sawan.
  • Sistem pertahanan tubuh menjadi lemah. Hal ini akan menjadikan pesakit mudah terdedah jangkitan serta mudah jatuh sakit.
  • Perikarditis, keradangan pada selaput yang menyelubungi jantung anda (perikardium).
  • Komplikasi kehamilan yang menyebabkan risiko terhadap ibu dan janin yang sedang berkembang.

Pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang yang tidak dapat dipulihkan (penyakit buah pinggang peringkat akhir), akan memerlukan sama ada kaedah dialisis atau penggantian buah pinggang untuk membantu mereka meneruskan hidup.

MERAWAT PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

Walaupun penyakit ini tidak mempunyai penawar, rawatan boleh membantu melegakan gejala-gejala serta menghentikannya daripada menjadi lebih teruk.

Rawatan yang diterima bergantung kepada betapa teruknya penyakit buah pinggang tersebut.

Mayo Clinic menerangkan, antara rawatan utama penyakit ini adalah:

  • Perubahan gaya hidup untuk memastikan pesakit kekal sihat
  • Pengambilan ubat untuk mengawal masalah yang berkaitan seperti tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi
  • Dialisis – rawatan untuk meniru beberapa fungsi buah pinggang; rawatan ini mungkin perlu penyakit buah pinggang kronik yang sudah teruk
  • Pemindahan buah pinggang – ini juga perlu dalam penyakit buah pinggang kronik yang sudah teruk
Prosedur dialisis

Pesakit juga akan dinasihati  untuk kerap melakukan pemeriksaan kesihatan supaya keadaan pesakit boleh dipantau.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENCEGAH PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

Untuk mengurangkan risiko penyakit buah pinggang:

  • Ikut dengan betul arahan pengunaan ubat-ubatan yang mudah dibeli di kaunter.

Apabila menggunakan ubat penahan sakit tanpa preskripsi, seperti aspirin, ibuprofen dan acetaminophen, ikut arahan pada pakej tersebut.

Mengambil terlalu banyak ubat tahan sakit boleh mengakibatkan ginjal rosak malah pesakit buah pinggang kronik harus mengelakkan mengambil ubat-ubatan seperti ini.

Pesakit perlu berbincang dengan doktor  tentang pengunaan ubat-ubatan ini.

  • Mengekalkan berat badan yang sihat. Sekiranya anda mempunyai berat badan yang sihat, anda perlu berusaha untuk mengekalkannya dengan melakukan senaman buat beberapa kali dalam seminggu.

Sekiranya pesakit perlu menurunkan berat badan, pesakit perlu berbincang dengan doktor tentang cara yang sihat untuk untuk menurunkan berat badan. Hal ini selalunya melibatkan melakukan lebih banyak senaman serta mengurangkan pengambilan kalori berlebihan.

  • Jangan merokok. Rokok boleh merosakkan buah pinggang serta boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk pada ginjal yang rosak.

Jika pesakit seorang perokok, dia haruslah berbincang dengan doktornya tentang strategi untuk berhenti merokok.

Kumpulan sokongan, kaunseling dan ubat-ubatan boleh membantu pesakit berhenti merokok.

  • Menguruskan keadaan kesihatan dengan nasihat doktor.

Sekiranya individu mempunyai penyakit atau keadaan yang boleh meningkatkan risiko berlakunya penyakit buah pinggang, dia perlu bekerjasama dengan doktor untuk mengawal keadaan penyakit ini.

Individu boleh bertanya pada doktor tentang ujian yang boleh diambil untuk mengenalpasti jika terdapatnya kerosakan pada buah pinggang individu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.