AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Memperkenalkan Sistem Penapisan Internet Canggih

Baru-baru ini, Kementerian Penerangan dan Komunikasi Indonesia telah menguatkuasakan sistem penapisan internet yang baru bernilai AS$ 14 juta (RM 56.1 juta).

Sistem itu secara automatik akan menyekat sebarang kandungan berunsur pornografi serta kandungan-kandungan lain yang dianggap tidak sesuai oleh kerajaan negara itu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Semuel Pangerapan, sistem tersebut turut dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) yang akan melayari setiap laman sesawang dan menggunakan kata kunci untuk mengesan kandungan-kandungan yang tidak sesuai.

“Selepas kandungan diperiksa, pasukan kami akan menilai dan mengesahkan data. Kemudian, kami akan menyekat laman sesawang yang disahkan mempunyai kandungan-kandungan negatif,

“Mesin ini akan mempercepatkan lagi tugas kami,” katanya.

Memetik laporan Arab News, sistem baru itu akan membolehkan pihak kementerian untuk mengenal pasti pelbagai kandungan negatif yang berkaitan perjudian, terorisme (keganasan), penipuan dan dadah, serta khabar angin dan berita palsu.

Kementerian berkenaan turut bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain, termasuk agensi anti-keganasan (BNPT) untuk memeriksa bahan-bahan ekstremis, dan agensi anti-dadah kebangsaan (BNN) untuk mengesan kandungan-kandungan yang berkaitan dengan dadah.

Sistem ini baru sahaja memulakan percubaannya pada 29 Disember, dan ia dilaporkan telah melayari 1.2 juta laman sesawang dan berjaya mengesan lebih daripada 120,000 kandungan negatif.

Pangerapan berkata, kementerian telah menetapkan sasaran untuk menyekat sekurang-kurangnya 10 juta daripada anggaran 30 juta laman sesawang yang mempunyai kandungan eksplisit.

Pada masa yang sama, beliau juga menafikan khabar angin yang mendakwa bahawa kerajaan akan menggunakan teknologi baru ini untuk memantau kegiatan atas talian (online) rakyat di negara itu.

Tegasnya, sistem tersebut tidak dicipta untuk tujuan pengawasan atau memantau perbualan atas talian.

Dalam pada itu, Pengerusi Asosiasi Penyelenggara Jasa Internet Indonesia (APJII), Jamalul Izza berkata, laman sesawang lucah berada di tangga pertama dalam senarai kandungan negatif yang dikenal pasti oleh kerajaan, diikuti penipuan dan berita palsu.

Ujarnya, ahli-ahli APJII sentiasa mematuhi permintaan kerajaan untuk menyekat sesetengah laman sesawang.

Berdasarkan sebuah kajian pada tahun 2016, 132.7 juta daripada 256 juta penduduk Indonesia adalah pengguna internet.

Sehubungan dengan itu, seramai 129 juta pengguna melayari internet untuk menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Seorang pegawai kanan Universiti Gadjah Mada Yogyakarta, Dedy Permadi berpandangan bahawa sistem baru ini adalah penyelesaian yang bagus bagi kerajaan untuk melakukan sekatan ke atas kandungan negatif di internet.

Sebelum ini, kandungan-kandungan yang paling “membimbangkan” adalah pornografi dan radikalisme atas talian.

“Kerajaan telah mengesan dan menyekat laman sesawang yang menyediakan cara-cara untuk membuat bom,” jelas Permadi.

Difahamkan, teknologi lama yang digunakan sebelum ini hanya mampu mengesan 700,000 kandungan negatif sejak beberapa tahun yang lalu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker