Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai kuasa nombor satu di dunia dari aspek ekonomi dan ketenteraan, namun pengaruh negara itu di peringkat global ternyata semakin merudum sejak Donald Trump memegang jawatan presiden.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Ia adalah kerana AS enggan menggunakan kuasa dan kemampuan yang mereka miliki untuk menjadikan dunia ini lebih baik.
Menurut Fareed Zakaria, wartawan terkemuka di agensi berita CNN, pentadbiran Trump dilihat seolah-olah mahu memusnahkan segala pencapaian AS, khususnya dari aspek perdagangan dan dalam menetapkan agenda global.
Walaupun baru setahun menduduki Rumah Putih, jutawan hartanah itu telah mengambil pelbagai ‘keputusan tidak popular dan tidak perlu’, termasuk menguatkuasakan larangan kemasukan rakyat daripada tujuh negara Islam dan mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Bukan itu sahaja, malah beliau turut ‘cari pasal’ dengan Rusia dan China dengan melemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap kedua-dua negara itu.
Kini, negara-negara lain di dunia terpaksa ‘menyesuaikan diri’ dengan cara kepimpinan AS yang sangat tidak menentu.
Pada bulan Disember lepas, Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel menyatakan bahawa “perubahan penting” yang berlaku ke atas negara-negara Barat dan seluruh dunia pada masa ini adalah kerana AS tidak memainkan peranan mereka sebagai penjamin global yang kredibel.
Gabriel berkata, perubahan kepimpinan ini meningkatkan risiko untuk berlakunya perang perdagangan, perlumbaan senjata dan juga konflik bersenjata.
Tegas beliau, keadaan tersebut hampir berlaku di Eropah dan sejak Perang Dunia Kedua (WW2) tamat, Eropah telah menjadi ‘projek’ AS.
Namun, pentadbiran AS pada zaman ini mempunyai pandangan lain terhadap Eropah, di mana sekutu-sekutu mereka kini dilihat sebagai pesaing dan juga ‘musuh ekonomi’.
Oleh yang demikian, Gabriel menggesa benua tersebut agar mula berusaha untuk menentukan nasib sendiri dan tidak lagi bergantung kepada dasar-dasar luar yang ditetapkan oleh AS
Dalam pada itu, Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland dalam sebuah ucapan pada bulan Jun 2017, turut mengumumkan bahawa kepimpinan AS (di bawah pentadbiran Trump) telah sampai ke penghujungnya.
Walau bagaimanapun, kehilangan pengaruh AS di pentas antarabangsa dilihat sebagai ‘peluang cerah’ bagi China untuk menjadi kuasa nombor satu dunia.
“Kedudukan China di peringkat global telah mencapai tahap tertinggi berbanding sebelum ini…..dan negara kita juga membuka laluan kepada negara-negara membangun yang lain untuk mencapai modernisasi,” kata Presiden Xi Jinping ketika berucap di Kongres Parti Komunis ke-19 pada bulan Oktober lepas.
Ujarnya lagi, China juga telah memasuki era baru dan sedang berusaha untuk memberi sumbangan yang lebih besar kepada seluruh dunia.
Selain daripada kebangkitan China, negara-negara lain seperti Turki, Rusia, Iran dan Arab Saudi juga sedang bergerak ke arah kemajuan yang luar biasa.
Tetapi menurut Fareed, hanya China sahaja yang mempunyai sumber dan kemahiran untuk membentuk dunia baru pada masa akan datang.
Kesimpulannya, sekiranya berlaku kejatuhan AS satu hari nanti, ia bukan disebabkan oleh mana-mana pihak lain, tetapi ia berpunca daripada tindakan, keputusan bodoh, serta sikap mereka yang bongkak dan angkuh.