AntarabangsaIsu Semasa

Masuk Tahun Baru, Arab Saudi Dan UAE Memperkenalkan VAT

Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi dua negara pertama di dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk menguatkuasakan Cukai Nilai Tambah atau Value Added Tax (VAT) pada hari pertama tahun 2018.

Untuk pengetahuan anda, VAT juga adalah nama lain bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015.

Memetik laporan The Star, VAT akan menambah 5% kos ke atas kebanyakan barang dan perkhidmatan di kedua-dua negara berkenaan seperti minyak, pakaian, makanan, peralatan elektronik dan juga bilik hotel.

Walau bagaimanapun, ubat-ubatan, yuran persekolahan, sewa rumah dan yuran perubatan akan dikecualikan daripada cukai itu.

Baru-baru ini juga, Arab Saudi telah mengumumkan peningkatan harga minyak tempatan sebanyak 126%, di mana harga RON 95 meningkat daripada SR 0.90 (RM 0.98) kepada SR 2.04 (RM 2.21) selitre.

Pelaksanaan VAT ini merupakan langkah peningkatan harga yang kedua dikuatkuasakan di negara itu.

Sebelum ini, harga barang telah ditingkatkan sebanyak 50% pada dua tahun lalu (1 Januari 2016).

Di UAE pula, harga minyak turut menyaksikan peningkatan – harga RON 95 meningkat dari Dh 2.04 (RM 2.26) kepada Dh 2.12 (RM 2.34).

Tidak seperti di Malaysia, harga minyak tidak dikecualikan daripada VAT di Arab Saudi dan UAE.

Menerusi pelaksanaan VAT, Kementerian Kewangan Arab Saudi dijangka akan meraih sebanyak SR 85 bilion (RM 92.1 bilion), manakala UAE pula sebanyak Dh 12 bilion (RM 13.3 bilion) dari hasil kutipan.

Menurut The National, perkhidmatan berita utama di Timur Tengah, negara-negara di dalam GCC telah bersetuju untuk melaksanakan VAT sebagai sebahagian daripada langkah mereka untuk meningkatkan dan mempelbagaikan pendapatan kerajaan.

Negara-negara di bawah GCC merangkumi Arab Saudi, UAE, Kuwait, Oman, Bahrain dan juga Qatar.

Dalam pada itu, Kuwait, Oman, Bahrain dan Qatar dijangka akan melaksanakan VAT secara rasmi pada 1 Januari 2019.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker