AntarabangsaIsu Semasa

China Banteras Penyeludupan “Foreign Garbage”

Jabatan Kastam dengan kerjasama dua kementerian (Perlindungan Alam Sekitar dan Perdagangan) di China telah menahan ratusan individu yang didakwa menyeludup masuk sisa pepejal ke dalam negara itu.

Menurut kenyataan Ketua Pentadbiran Kastam, pegawai-pegawai kastam di 13 wilayah dan daerah, termasuk Guangdong, zhejiang dan Jiangsu, menahan kira-kira 127 suspek daripada 47 kumpulan sindiket dalam operasi serbuan terbesar tahun 2017 yang dilaksanakan pada 19 Disember.

Selain daripada penahanan suspek, pihak berkuasa turut merampas lebih daripada 323,000 tan metrik sisa pepejal yang diberi nama “foreign garbage”, termasuk sisa plastik dan mineral.

Memetik laporan The Star, China telah mengimport sisa-sisa pepejal yang boleh dikitar semula untuk memproses dan menggunakan semula bahan-bahan mentah bagi sektor perkilangan sejak beberapa dekad yang lalu.

Walau bagaimanapun, istilah “foreign garbage” digunakan untuk merujuk kepada sisa pepejal yang terdapat di dalam senarai produk-produk terlarang yang diseludup masuk ke China, termasuk sisa-sisa yang diimport tanpa kebenaran.

Sejak tahun 2013, pihak kastam telah menyiasat sekurang-kurangnya 400 kes penyeludupan sisa pepejal dan menahan lebih daripada 800 suspek secara keseluruhan.

Sepanjang tahun lepas pula, kastam menahan 421 orang suspek daripada 298 kumpulan yang dituduh melakukan penyeludupan, dan angka itu adalah setengah daripada jumlah keseluruhan penahanan suspek pada 5 tahun sebelumnya.

Sementara itu, 1,700 pemeriksa dari Kementerian Perlindungan Alam Sekitar juga telah melaksanakan kempen pemeriksaan selama sebulan di 1,792 buah syarikat kitar semula pada bulan Julai.

Namun, Menterinya, Li Ganjie menyatakan bahawa 60% daripada semua syarikat tersebut didapati telah melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Kementerian itu berkata, kebanyakan salah laku yang terjadi berkaitan dengan pelepasan bahan pencemaran yang berlebihan, kegagalan untuk mematuhi larangan import ke atas bahan kitar semula dan kaedah rawatan sisa pepejal yang salah.

Oleh itu, Kementerian tersebut serta pihak berkuasa alam sekitar tempatan mengambil langkah drastik dengan mendenda 940 syarikat, menahan 32 orang pengurus, dan menutup 94 perniagaan.

“Di antara 2018 dan 2020, kami akan mengekalkan pengawasan ketat terhadap kitar semula domestik yang memproses sisa pepejal yang diimport dan akan melakukan pemeriksaan khas untuk memastikan syarikat-syarikat yang terlibat mematuhi undang-undang,” kata Li.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close