Isu SemasaPolitikTempatan

Adakah Sistem Demokrasi Sesuai Dengan Islam?

Sistem demokrasi merupakan proses politik yang diamalkan di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Dalam sistem ini, rakyat diberi hak dan kuasa penuh untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan yang mereka mahukan mengikut undi majoriti.

Walau bagaimanapun, di dalam sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim seperti Malaysia, terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan demokrasi.

Menurut Ilham Ramli, seorang Felo Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia di dalam penulisannya berjudul “Muslims and electoral Participation in Malaysia” yang diterbitkan di News Straits Times, sikap negatif segelintir orang Islam mengenai demokrasi terbahagi kepada dua kategori.

Pertama adalah golongan yang menganggap bahawa demokrasi itu sendiri tidak bersesuaian dengan Islam manakala yang kedua pula adalah mereka skeptikal dengan amalan tersebut kerana ia berasal dari Barat.

Ilham berkata, Islam menerima sebarang bentuk hikmah (kebijaksanaan) tanpa mengambil kira asal usulnya.

Tidak dinafikan bahawa demokrasi juga mempunyai kelemahannya tersendiri, namun tidak salah juga bagi orang Islam untuk mengamalkannya kerana ia merupakan sistem politik terbaik yang wujud pada zaman moden ini.

Bukan itu sahaja, malah demokrasi yang teratur juga membolehkan proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan aman tanpa berlakunya sebarang pertumpahan darah.

Selain itu, beberapa prinsip Islam turut diamalkan dalam demokrasi berparlimen seperti syura (perbincangan), musawah (samarata), al-‘adalah (keadilan), amanah, mas’uliyyah (kebertanggungjawaban) dan hurriyyah (kebebasan).

Melantik wakil rakyat, membahaskan dasar-dasar awam, kebertanggungjawaban awam kerajaan, dan memberi nasihat kepada pihak berkuasa juga merangkumi elemen-elemen Islamik.

Ujar Ilham, Khalifah kedua Saidina Umar al-Khattab, pernah menasihati pegawai-pegawainya untuk sentiasa bermuhasabah diri.

Di dalam Islam, muhasabah bermula dengan diri sendiri dengan mengenal pasti kekurangan diri dan mendisiplinkan diri, tetapi konsep ini tidak lengkap jika ia tidak diterapkan dalam pentadbiran kerajaan.

Oleh itu, demokrasi secara keseluruhan adalah diterima dan bersesuaian dengan Islam.

Di Malaysia, demokrasi telah diamalkan selama berdekad-dekad dan sebarang kegiatan yang memudaratkannya adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, negara kita juga telah menempuhi 13 pilihan raya umum dengan jayanya, dan peristiwa ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa di kalangan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker