FesyenGaya Hidup

Rakyat Malaysia Amal Konsep Pakai Buang?

Kemunculan fesyen yang lebih mudah diakses dan mampu milik bermakna pengguna membeli lebih banyak daripada sebelumnya. Jumlah pakaian yang dibeli oleh pembeli biasa setiap tahun meningkat sebanyak 60% antara tahun 2000 dan 2014 sahaja.

Penyelidikan terbaru Omnibus YouGov mendedahkan sebanyak mana pakaian dibuang di Malaysia. Ia mendapati bahawa tujuh daripada sepuluh rakyat Malaysia (68%) telah membuang beberapa helai pakaian pada tahun lalu dan seperempat (25%) telah membuang lebih daripada sepuluh helai pakaian pada tempoh yang sama.

Hampir tiga daripada sepuluh (27%) telah membuang satu item pakaian setelah memakainya hanya sekali dan pada tahun lalu sahaja, 14% daripada semua responden telah membuang sekurang-kurangnya tiga item pakaian yang mereka hanya pakai sekali.

Golongan milenium (yang berumur antara 16 dan 34 tahun) mempunyai peratusan tertinggi memiliki pakaian baru; 37% daripada mereka mengatakan mereka telah membeli sekurang-kurangnya separuh daripada pakaian yang mereka miliki dibeli pada tahun lalu sahaja. Berbanding dengan ‘baby boomer’ (mereka yang berusia lebih 55 tahun), hanya 23% mengatakan hal yang sama.

Satu dari sepuluh golongan milenium (10%) mengatakan bahawa, secara umum, mereka menyimpan pakaian mereka selama kurang daripada setahun sebelum membuangnya. 6% daripada ‘baby boomer’ mengatakan hal yang sama.

Walaupun memberi pakaian yang tidak diingini kepada badan amal dan menyerahkannya kepada rakan-rakan/keluarga adalah perkara biasa di kalangan rakyat Malaysia (yang dilakukan oleh 62% dan 54% daripada semua responden), generasi yang berbeza juga membuang pakaian yang tidak diingini dengan cara berbeza.

Golongan milenium adalah enam kali lebih cenderung untuk menjual pakaian yang tidak diingini secara dalam talian (18% telah berbuat demikian, manakala 3% daripada ‘baby boomer’ juga melakukannya) dan juga lebih cenderung untuk menggunakan semula pakaian yang tidak diingini dengan cara baru (mengubah pakaian yang tidak diingini untuk membuat pakaian baru).

Namun begitu, mereka juga lebih cenderung untuk membuang pakaian yang tidak diingini menggunakan kaedah kurang mampan seperti membuangnya ke dalam tong sampah (dilakukan oleh 27% golongan milenium, berbanding dengan 17% ‘baby boomer’) atau dengan mudah membakarnya (7% golongan milenium melakukan cara ini, sebaliknya hanya 2% daripada ‘baby boomer’).

Antara alasan mereka ialah:

  1. Menganggap pakaian mereka tidak lagi sesuai dipakai (53%)
  2. Membuang pakaian kerana telah rosak (53%) dan kerana telah mula rosak (39%)
  3. Pakaian telah dimiliki untuk beberapa musim (16%)
  4. Telah bosan memakainya (15%)
  5. Item tersebut kini telah menjadi fesyen lama (14%)
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker