Bisnes & Ekonomi

Langkah-langkah Untuk Menjayakan Perniagaan Sosial

Usahawan sosial adalah peniaga yang menerapkan dalam perniagaan mereka cara-cara untuk menyelesaikan masalah yang dihidapi komuniti sambil mereka berniaga.

Pengarah Eksekutif Lien Centre for Social Innovation, Singapura, Jonathan Chang,  berkata  di laman sesawang Channel News Asia,  usahawan sosial perlu belajar bagaimana untuk mempengaruhi orang di sekeliling mereka serta melengkapi diri mereka dengan skil-skil perniagaan untuk menjayakan perniagaan mereka serta menyumbang kepada masyarakat.

Berikut adalah nasihat yang diberi Chang bagi usahawan sosial untuk menjayakan perniagaan mereka.

  1. JUAL KUALITI BUKAN SIMPATI

Selalunya usahawan sosial berniat meningkatkan jualan dan pendapatan dengan menyampaikan cerita yang menyentuh hati tentang mereka yang mendapat maanfaat daripada perniagaan para usahawan sosial ini.

Namun, realitinya model perniagaan yang hanya bergantung pada cerita-cerita sedih akan mempunyai kesukaran bersaing dengan perniagaan lain.

Sebagai contoh, berapa ramai daripada kita yang akan masuk ke kedai Apple dengan berfikir, “Saya kesian kepada Apple. Jadi, saya akan menghabiskan wang pendapatan saya untuk membeli telefon terbaru keluaran Apple, supaya mereka dapat meneruskan perniagaan”

Rasanya kita semua tidak akan berfikiran begitu

Apa yang biasanya berlaku dalam bidang keusahawanan sosial adalah, pengguna akan rasa tersentuh oleh cerita-cerita yang menyayatkan hati sehinggakan mereka sanggup membelanjakan wang untuk membeli “sesuatu” untuk menawarkan bantuan dan sokongan.

Tetapi pelanggan akan sedar bahawa produk tersebut tidak bagus, seterusnya tidak akan menggunakannya serta tidak akan mengesyorkan penggunaannya kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Jadi pelanggan hanya akan membeli barang tersebut hanya sekali.

Hal ini adalah sebab utama mengapa sesetengah perniagaan usahawan sosial kekal kecil malah ditutup selepas menjalankan perniagaan mereka buat masa yang singkat.

Untuk menjalankan peniagaan yang berjaya, seorang usahawan perlu memahami faktor-faktor yang mendorong tabiat perbelanjaan pengguna.

Rata-rata pelanggan cenderung untuk membeli produk yang mempunyai harga yang berpatutan, berkualiti dan tahan lama.

Kebanyakan usahawan sosial berfikir hanya disebabkan mereka menjalankan perniagaan untuk membantu komuniti, mereka boleh mengenakan harga yang tinggi.

Pemikiran ini adalah salah.

  1. JALANKAN PERNIAGAAN, BUKAN KEBAJIKAN

Seperti juga perniagaan lain, perusahaan sosial sangat bergantung kepada maklum balas yang baik daripada pelanggan serta kesetiaan pelanggan.

Berkenaan dengan mesej yang disampaikan, pelanggan sudah biasa dengar cerita-cerita yang menyayat hati.

Pengalaman membeli-belah sepatutnya menyeronokkan buat pelanggan – dan perasaan mulia berbuat sesuatu untuk tujuan yang baik akan pudar seiring dengan peredaran masa.

Usahawan sosial yang berjaya akan menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti sambil masih boleh menyumbang terhadap komuniti.

Contohnya adalah perniagaan The Mustard Tree, sebuah kedai hadiah yang menggunakan pembuat kraf OKU.

Perniagaan tersebut tegas mengatakan di laman webnya bahawa ia mahu dikenali untuk hasil kerja yang berkualiti dan sumbangan mereka terhadap komuniti.

Dengan menegaskan organisasi mereka sebagai sebuah perniagaan dan bukannya badan amal, The Mustard Tree bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan setiap pelanggan.

Selain itu, satu lagi cara untuk membina kesetiaan pelanggan adalah untuk membuat pengguna merasa mereka juga sebahagian daripada perkembangan positif yang disebabkan usahawan sosial.

Sebagai contoh, dengan kerap membeli kraftangan dari Mother+ Child Project  yang menyediakan latihan perniagaan dan kerja menjahit dari rumah kepada golongan kaum hawa yang kurang bernasib baik, pelanggan boleh membeli dan mendapatkan produk berkualiti tinggi sambil memberi bantuan kepada ibu tunggal.

Malah pelanggan juga boleh membantu pesakit mental yang baru pulih dengan memberi mereka bantuan kewangan dan peluang untuk belajar kemahiran baru.

  1. MENJADI SEORANG ‘HUSTLER’

Walapun memahami tingkah laku perbelanjaan pengguna adalah penting, adalah sama penting untuk seorang usahawan sosial memahami konsep ‘hustling’.

Menjadi seorang hustler bererti anda perlu bekerja keras sepanjang hari dan sepanjang malam kerana anda tidak mempunyai sumber yang mencukupi.

Tidak ada cara lain, kecuali mengorbankan masa dan tenaga untuk menjayakan perniagaan tersebut.

Apabila saya (Chang) menjadi mentor bagi mereka yang bercita-cita untuk menjadi usahawan, atau mereka yang sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam sebuah  perusahaan, saya mencari sebuah semangat yang menjadi pendorong kepada mereka, sesuatu yang meyakinkan saya usahawan ini tidak akan berhenti jika berhadapan dengan cabaran.

Usahawan sosial perlu tahu bagaimana untuk memanfaatkan hubungan perniagaan yang telah mereka bina buat masa yang lama.

Usahawan sosial juga perlu berhati-hati supaya tidak menghabiskan semua masa dan tenaga mengejar geran dari pelbagai badan dan pertandingan pelan perniagaan.

Bukanlah tidak boleh melakukannya langsung tetapi mereka perlu bijak dalam membahagikan tenaga dan masa untuk menyertai program-program sebegini.

Hal ini kerana masa dan tenaga yang banyak diperlukan untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan. Jadi tidak sepatutnya usahawan sosial meluangkan sebahagian besar masa mereka untuk perkara-perkara sebegitu.

Individu suka mendapatkan geran kerana ia sumber wang percuma, tanpa perlu berbuat apa-apa untuknya. Walaupun hal itu benar, saya sangat menggalakkan usahawan sosial untuk mencari wang daripada pelabur impak.

Ya, anda perlu memberikan sebahagian kepentingan ekuiti kepada pelabur anda, tetapi pelabur yang sesuai datang bersama kenalan, bimbingan dan pemahaman tentang pengurusan.

Mereka juga akan meminta para usahawan untuk mempunyai business mind-set (minda bisnes) yang amat diperlukan untuk mengembangkan perniagaan.

Sesetengah kemahiran dan pengetahuan ini boleh didapati dengan menyertai kursus-kursus, menghadiri bengkel, atau dengan memperoleh ijazah.

Selain menerusi saluran pendidikan sebegini, mempunyai rakan kongsi yang tepat, mentor dan pelabur adalah penting dalam mengembangkan perniagaan seorang usahawan sosial.

KESIMPULAN

Menjelang tahun baru ini,  usahawan sosial digesa untuk mempertimbangkan kaedah-kaedah baru  yang lebih mampan dan bermakna untuk berhubung dengan pelanggan mereka.

Pelanggan patut berani berbuat sesuatu yang berbeza.

Mereka digalakkan untuk membeli produk dan perkhidmatan dari perusahaan sosial tempatan yang komited dalam menghasilkan produk yang berkualiti tinggi serta yang ingin menyumbang kepada masyarakat.

Beri usahawan ini peluang untuk membuat perbezaan, dan anda mungkin dapat membantu  mendedahkan permata yang tersembunyi.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker